PRN Sarawak dijangka berlangsung Disember ini

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media selepas merasmikan pelancaran e-buku cerita rakyat dan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Penulisan Cerita Rakyat Sarawak DayakDaily 2026 di sebuah hotel, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 17 Oktober: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka berlangsung dalam masa terdekat, manakala Disember ini dilihat sebagai tempoh yang berkemungkinan berdasarkan perkiraan tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta proses pilihan raya.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tempoh bagi mengadakan PRN semakin singkat memandangkan DUN Sarawak dijadualkan menamatkan penggalnya pada Disember ini.

“Pada pandangan saya, pilihan raya mesti sangat hampir kerana kita sudah berada di penghujung Oktober dan hanya mempunyai November serta Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran e-buku cerita rakyat dan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Penulisan Cerita Rakyat Sarawak DayakDaily 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini. 

Menurutnya, tarikh 12 atau 19 Disember yang disebut sebelum ini masih belum dapat dipastikan kerana keputusan pembubaran DUN terletak di bawah prerogatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Abdul Karim berkata, selepas pembubaran DUN, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari, sekali gus menjadikan Disember sebagai tempoh yang dilihat berkemungkinan sekiranya pembubaran dibuat mengikut perkiraan semasa.

“Bagaimanapun, tarikh sebenar PRN bergantung pada keputusan Premier Sarawak dan proses yang perlu dilaksanakan SPR sebelum pilihan raya diadakan,” tegasnya. 

Beliau turut berpandangan bahawa faktor cuti hujung tahun, sambutan Krismas serta jadual lain pada awal tahun depan perlu diambil kira dalam menentukan tempoh sesuai untuk mengadakan PRN.

Untuk rekod, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, menyebut tarikh 12 atau 19 Disember sebagai kemungkinan tarikh PRN Sarawak ketika menyampaikan ucapan penutup perbahasan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan DUN Sarawak, baru-baru ini.

Oleh Adele Rissa