MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, persoalan yang turut diberi perhatian ialah sejauh mana kemampuan kekuatan parti pembangkang untuk menggugat kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Memang ramai beranggapan tiada masalah untuk GPS boleh menang, tetapi apakah pembangkang berupaya untuk menidakkan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi GPS pada PRN lepas?
Latar belakang
Untuk rekod, GPS berjaya memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN ke-12 lalu, 18 Disember 2021.
Pada 2024, GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN di Sarawak setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang yang telah dibubarkan secara rasmi 6 April 2024 iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), manakala seorang ADUN lagi keluar (See Chee How – Batu Lintang) dan isytihar diri sebagai ADUN Bebas pada Ogos 2022.
Tiga ADUN PSB ketika itu yang menyertai PDP adalah bekas Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Baru Bian (Ba’kelalan).
Keadaan itu menyebabkan hanya ada dua wakil pembangkang dari DAP dalam DUN iaitu Chong Chieng Jen (Padungan) dan Violet Yong (Pending) selain seorang ADUN Bebas, See Chee How (Batu Lintang), yang sudah memohon menyertai Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), sehari selepas DUN dibubar Jumaat lalu.

PDP adalah antara empat parti komponen dalam GPS. Tiga lagi ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Berikutan itu, hanya DAP parti pembangkang tunggal dalam DUN setelah tiada lagi PSB, yang menjadi ancaman kepada GPS pada PRN lalu selain DAP.
Bagaimana pula ancaman parti pembangkang lain seperti Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), PAS, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) yang kini dijenamakan sebagai Parti Wawasan Rakyat?
Identiti etnik
Profesor Sosiologi Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Novel Lyndon berkata PBDS merupakan sebuah parti yang perlu diberikan perhatian dalam landskap politik Sarawak.
“Ini kerana penekanannya terhadap identiti masyarakat Dayak, hak tanah adat Bumiputera (NCR), pembangunan luar bandar dan penyertaan politik masyarakat peribumi.
“Pada September 2026, PBDS menyatakan hasrat untuk bertanding sehingga 37 kerusi dan memaklumkan bahawa parti itu mempunyai 28 cawangan. Bagaimanapun, jumlah kerusi yang disasarkan belum membuktikan tahap sokongan sebenar di kawasan pilihan raya,” katanya kepada penulis.
Dr Novel yang berasal dari Bau berkata daripada perspektif sosiologi politik, identiti etnik boleh menjadi faktor penting dalam membentuk kesedaran dan penyertaan politik.
Namun, katanya, identiti etnik bukan satu-satunya pertimbangan pengundi sebaliknya, hubungan dengan calon, perkhidmatan wakil rakyat, pembangunan dan kepentingan ekonomi keluarga juga mempengaruhi keputusan mereka.
Justeru, katanya, PBDS mempunyai ruang untuk mengetengahkan isu masyarakat Dayak, tetapi kekuatan sebenar parti itu perlu dinilai berdasarkan organisasi akar umbi, penerimaan calon dan keupayaannya menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat.
Beliau berkata, kehadiran PBDS juga memperlihatkan bahawa masyarakat peribumi mempunyai pelbagai saluran untuk menyuarakan tuntutan politik dan pembangunan mereka.
Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Stanley Bye Kadam Kiai, pula berkata PBDS dan parti lawan yang lain, selain DAP di kawasan majoriti masyarakat Cina, tidak akan memberi sebarang tandingan dan ancaman kepada GPS.

Ancaman DAP
“Parti-parti lawan yang berpangkalan di Sarawak terutamanya tidak akan memenangi, seperti dalam pilihan raya ke-12, sebarang kerusi DUN dalam pilihan negeri kali ini.
“Pada PRN ke-12 (2021), saya meramalkan GPS akan memperoleh lebih daripada 72 kerusi yang disandang ketika itu. Ramalan tersebut tepat sekali kerana GPS berjaya memenangi lebih banyak (76 daripada 82 kerusi).
“Pada pilihan raya negeri ke-13 ini, saya beranggapan GPS akan dapat mengekalkan kedudukannya itu, sekali gus berupaya memastikan majoriti dua pertiga itu berterusan,” katanya kepada penulis.
Bagaimana pula dengan ancaman PKR dan DAP?
Menurut Dr Novel, PKR dan DAP mempunyai kedudukan serta cabaran yang berbeza dalam politik Sarawak kerana DAP mempunyai pengalaman sebagai pembangkang dalam DUN Sarawak.
Katanya, pada PRN 2021, DAP memenangi dua kerusi, iaitu Padungan dan Pending, manakala pada Ogos 2026, kepimpinannya menyatakan sasaran meningkatkan perwakilan kepada lapan hingga 10 kerusi, dengan penekanan terhadap fungsi semak dan imbang dalam DUN.
“PKR pula tidak memenangi sebarang kerusi DUN pada PRN 2021 walaupun bertanding di 28 kawasan. Pada Oktober 2026, PKR melakukan penyusunan semula kepimpinan Sarawak dengan pelantikan Mahmud Epah sebagai pengerusi negeri bagi memperkukuh persiapan pilihan raya.
“Dari sudut sosiologi politik, DAP dan PKR perlu dilihat melalui keupayaan mereka membawa isu masyarakat setempat, bukan semata-mata berdasarkan kedudukan sebagai sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan.
“DAP memberi penekanan kepada keperluan semak dan imbang, manakala PKR turut menonjolkan isu keadilan sosial dan penyertaan rakyat.
“Satu persoalan menarik ialah hubungan GPS dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan walaupun kedua-duanya bersaing dalam politik negeri. Keadaan ini menggambarkan keunikan sistem politik Malaysia, apabila kerjasama di peringkat nasional tidak semestinya menghapuskan persaingan di peringkat negeri,” katanya.
PKR belum kukuh
Bagi Stanley Bye, kehadiran PKR di Sarawak boleh dikatakan belum kukuh dan parti tersebut tidak akan menjadi lawan kuat berbanding GPS.
Katanya, hal ini berbeza pula dengan DAP yang sudah lama berada dan bertapak di Sarawak serta mempunyai sumber dan penyokong setia.
“Tetapi, kalau kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada DAP dalam pilihan raya Sabah tahun lalu, di mana parti tersebut hilang kesemua lapan kerusi DUNnya.
“Maka DAP Sarawak juga akan menghadapi pelbagai rintangan, masalah dan cabaran bagi meyakinkan rakyat Sarawak terutamanya masyarakat Cina untuk menyokong pada PRN kali ini. DAP belum ada jawapan kepada teriakan ‘Sarawakku Sayang’ GPS,” katanya.
Akhirnya, bagi Dr Novel, PRN Sarawak ke-13 bukan sekadar persaingan untuk menentukan jumlah kerusi yang dimenangi GPS atau pembangkang.
Beliau berkata pilihan raya ini juga merupakan ruang untuk rakyat menilai keberkesanan pembangunan, keupayaan kepimpinan, hubungan antara kerajaan dengan masyarakat serta hala tuju Sarawak pada masa hadapan.
“Daripada perspektif sosiologi politik, tiga perkara utama perlu diperhatikan iaitu kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan, manfaat pembangunan dalam kehidupan seharian dan sejauh mana suara masyarakat diwakili dalam proses membuat keputusan.
“GPS mempunyai rekod pentadbiran dan pembangunan yang boleh dinilai oleh pengundi, manakala PBDS, PKR dan DAP membawa pendekatan serta isu yang berbeza untuk dipertimbangkan.
“Akhirnya, kekuatan demokrasi Sarawak bukan hanya diukur melalui besar atau kecilnya majoriti sesebuah parti, tetapi juga melalui keupayaan kerajaan dan wakil rakyat memenuhi keperluan masyarakat.
“Pembangunan fizikal mengubah wajah Sarawak, tetapi pembangunan sosial dan ekonomi yang benar-benar dirasai rakyat menentukan nilai kemajuan tersebut,” katanya mengakhiri perbualan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak




