SALAH satu sejarah penting di Alam Melayu pada tahun 1824 adalah termeterainya satu perjanjian antara British dan Belanda. Perjanjian ini yang dikenali sebagai Perjanjian Anglo-Belanda memberi impak jelas kepada perkembangan sejarah di Alam Melayu.
Ini kerana kesan perjanjian ini membawa kepada pemisahan dua wilayah di Alam Melayu iaitu Malaysia dan Indonesia. Menerusi perjanjian tersebut terdapat persetujuan antara dua kuasa Barat ini iaitu British dan Belanda tentang pengaruh kekuasaan masing-masing iaitu membelah Selat Melaka kepada dua bahagian di selatan iaitu Sumatera dibawah pengaruh Belanda dan di utara – Tanah Melayu dibawah pengaruh British.
Punca utama mengapa perjanjian ini dibuat adalah kerana bantahan Belanda terhadap tindakan British mendapat hak menduduki Singapura daripada Temenggung Johor pada 30 Januari 1819.
Persetujuan ini menyebabkan bantahan Belanda di Batavia yang menganggap British telah memasuki kawasan pengaruhnya. Atas sebab itu dilakukan rundingan antara British dan Belanda untuk menyelesaikan perkara tentang pengaruh masing-masing di Alam Melayu.
Penyelesaian antara dua kuasa Barat ini membawa termeterainya Perjanjian Anglo-Belanda yang membahagikan pengaruh kekuasaan antara dua kuasa seperti dinyatakan tadi. British pula mendapat hak Belanda di Melaka, dan sebagai pertukarannya, British menyerahkan Bengkahulu di Sumatera kepada Belanda.
Perjanjian ini hanya melibatkan Belanda dan British, dan tidak melibatkan persetujuan dalam kalangan pemerintah di kawasan sekitar Selat Melaka. Oleh kerana itu berlaku tuntutan oleh Johor ke atas beberapa pulau dalam EmpayarJohor-Riau tetapi tidak dilayan oleh Belanda.
Apa lebih menarik tentang perjanjian ini adalah kesannya ke atas Borneo. Ini kerana perjanjian ini membawa pertikaian kepentingan antara kedua-dua kuasa terhadap Borneo. Apabila James Brooke mengambil Sarawak terdapat bantahan semula oleh Gabenor Jeneral Belanda di Batavia tentang pengambilan tersebut.

Belanda
Kerajaan Belanda melalui dutanya di London (Baron Dedel) menghantar nota diplomatik bertulis kepada Setiausaha Luar British, Lord Aberdeen tentang hal ini dengan menyatakan bahawa mengikut semangat Perjanjian Anglo-Belanda pada tahun 1824, Kerajaan British adalah terhalang daripada membentuk sebarang petempatan atau memperoleh pengaruh politik di wilayah-wilayah yang boleh bertembung dengan kepentingan sedia ada Belanda di Kepulauan Hindia Timur.
Bantahan tentang kehadiran James Brooke ini juga datang daripada seorang penulis Belanda yang menyatakan bahawa mengikut Perkara 12 dalam perjanjian tersebut menyatakan bahawa British tidak boleh membuka apa-apa penempatan dibawah garis selatan Selat Singapura.
Beliau menambah bahawa Pulau Borneo dibawah garis tersebut dan kedudukan James Brooke tidak sah menurut perjanjian berkenaan.
Bantahan ini dijawab oleh Pejabat Luar British yang menafikan bantahan dari Belanda ini. Menurut Pejabat Luar di London, bantahan Belanda berhubung isu Pulau Borneo tidak boleh bersandarkan pada Perkara 12.
Ini kerana Perkara 12 tidak melibatkan Pulau Borneo. Mereka menambah bahawa hal ini tidak menghalang warganegara British untuk menjalinkan perdagangan mahupun mendapat wilayah yang diberi oleh pemerintah di pulau tersebut yang mana Belanda tidak mempunyai kedaualatan ke atasnya.
Borneo
Perkara 12 yang dikemukakan oleh Belanda ini dianggap agak kabur dan tidak mencakupi wilayah Borneo. Hal ini demikian kerana, berdasarkan perjanjian tersebut, British hanya bersetuju untuk tidak mendirikan petempatan di Kepulauan Karimon, Batam, Bintan, dan Kepulauan Lingga (disebut sebagai Linggin dalam perjanjian) serta mana-mana pulau lain yang terletak di sebelah selatan Selat Singapura.
Dalam Perkara 12 ini juga Belanda tidak membantah British bertapak di Singapura. Jelas di sini tidak disebut Pulau Borneo dalam perjanjian ini. Oleh itu, Pulau Borneo bebas sebarang aktiviti daripada kedua-dua kuasa.
Semasa mesyuarat perjanjian tersebut perkara tentang Borneo tidak diketengahkan. Menteri Tanah Jajahan Belanda A. R. Falck menolak untuk memasukkan Borneo dalam perjanjian tersebut .
Bagi wakil British pula, mereka telah bersetuju mengenai isu Singapura serta perjanjian perdagangan bebas tanpa memerlukan sebarang syarat larangan (negative stipulation) berhubung dengan Borneo.
Dengan kata lain Borneo tidak termasuk dalam perjanjian tersebut. Ini kerana Falck percaya bahawa British akan meninggalkan hal ehwal Borneo kepada Belanda. Sebaliknya minat kedua-dua kuasa ini di Borneo boleh dilihat sejak lewat abad ke-18 dan awal abad ke-19.
Percubaan
Contohnya British yang pada awalnya cuba mencari pengkalan di sebelah Alam Melayu untuk membantu perdagangannya dengan China telah mendapat Pulau Balambangan.
Sultan Sulu bersetuju menyerahkan pulau tersebut kepada British pada tahun 1763. Namun demikian Pulau tersebut telah diserang oleh Datu Tateng pada tahun 1775. Terdapat usaha untuk kembali ke pulau tersebut tetapi tidak meneruskan niat mereka.
Usaha untuk bertapak di Pulau Borneo diteruskan oleh British sebelum pertapakan Singapura. Wakil British iaitu William R. Farquhar pernah meninjau untuk mendirikan penempatan di Pontianak.
Namun demikian beliau mendapati bahawa pengaruh Belanda telah berada di Pontianak dan ini menyebabkan beliau memadamkan niatnya untuk terus berunding dengan pemerintah di Pontianak.
Kegagalan
Sementara itu, Belanda pula telah bertapak di bahagian selatan, barat, dan timur Borneo dengan menandatangani perjanjian bersama dengan beberapa kerajaan tempatan seperti Pontianak, Banjarmasin, Sambas, Sanggau, Berau, dan Bulungan.
Belanda mencuba untuk memperkukuhkan kuasanya di utara Borneo dengan menjalin hubungan dengan Brunei.
Terdapat dua utusan Belanda dihantar ke Brunei. Pertama pada tahun 1822 menerusi Sultan Sambas. Kedua pula menghantar wakil dari Jawa pada tahun 1823.
Seterusnya terdapat usaha oleh Residen Belanda di Sambas iaitu G. Müller untuk menjalin hubungan dengan orang Kayan.
Beliau telah berangkat ke Rajang tetapi kerajaan Brunei telah menolak kedatangan beliau. Dalam ekspedisi pada tahun 1825, penerokaannya yang seterusnya, Müller telah dibunuh di kawasan hulu Sungai Kapuas.
Atas kesibukan Belanda menangani Perang Jawa tiada usaha menghukum telah dilakukan oleh Belanda.
Apabila meletus pemberontakan di Sarawak, terdapat usaha pihak yang memberontak untuk mendapat sokongan Belanda tetapi ditolak. Penolakan ini boleh dikaitkan dengan kesibukan Belanda melawan kebangkitan di Sumatera.
Secara keseluruhannya Borneo bagi kuasa Belanda dan British mempunyai kedudukan tersendiri. Namun Belanda menunjukkan kesungguhan untuk menjalankan pengukuhan kuasanya tetapi British menggunakan Raja James Brooke untuk menguatkan kedudukannya terutama dalam usaha melawan lanun.
Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.




