ADA perkara yang agak pelik apabila menyebut tentang usaha pencegahan dalam mana-mana industri. Hal ini kerana selagi semua perkara berjalan lancar, kita mungkin tidak sedarakan setiap prosedur atau aktiviti-aktiviti yang dilakukan selama mana tiada kemalangan berlaku.
Malah, sebahagian daripada tindakan pencegahan mungkin sudah terlalu biasa dilakukan sehingga kita tidak lagi benar-benar menyedari tujuan ia dilaksanakan.
Namun, apabila sesuatu kejadian tiba-tiba berlaku, barulah kita tersentak dengan pelbagai persoalan. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Tidakkah ada orang boleh mengelakkan ia daripada berlaku? Kenapa ia boleh terjadi sekarang?
Setiap persoalan ini membawa kita kepada satu hakikat yang perlu direnungkan. Ketiadaan kemalangan tidak semestinya membuktikan bahawa segala-galanya berada dalam keadaan selamat.
Ada kemungkinan sistem pencegahan memang sedang berfungsi dengan berkesan. Namun, ada juga kemungkinan kelemahan telah lama wujud, tetapi belum mengakibatkan perkara yang buruk terjadi.
Keadaan yang selamat dan baik-baik sahaja sebenarnya mungkin lebih membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan perhatian kepada tindakan pencegahan semakin longgar. Sesuatu yang pada awalnya dianggap penting mungkin perlahan-lahan menjadi rutin yang sekadar perlu diselesaikan.
Sikap sambil lewa menjadi perkara biasa. Malah, mereka yang terlalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) akan dilihat sebagai orang yang menyusahkan.

Akibatnya, kelalaian yang berulang boleh mewujudkan keadaan yang semakin membuka ruang kepada berlakunya kemalangan.
Situasi sebegini jika wujud, ia sangat merisikokan keselamatan yang seharusnya menjadi keutamaan lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan orang awam.
Bayangkan dalam setiap penerbangan komersial, pada ketinggian 10,000 meter, ketenangan dan keceriaan penumpang sebenarnya bergantung pada pelbagai lapisan prosedur, pemeriksaan dan senarai semak yang perlu dipatuhi dengan teliti, walaupun kebanyakannya tidak disedari oleh mereka.
Salah satu langkah pencegahan yang diamalkan dalam industri penerbangan ialah Pengurusan Risiko Keselamatan atau Safety Risk Management (SRM). Secara ringkasnya, proses ini digunakan untuk mengenal pasti bahaya sebelum ia berkembang menjadi sesuatu yang lebih serius.
Perubahan cuaca
SRM amat penting kerana keadaan operasi penerbangan tidak sentiasa sama. Terdapat pelbagai faktor yang boleh berubah dari semasa ke semasa seperti cuaca.
Apabila perubahan berlaku, aspek lain turut terkesan, termasuk jadual penerbangan, aliran pergerakan di lapangan terbang dan tahap kesiapsiagaan petugas.
Perubahan ini perlu diberi perhatian kerana ia berpotensi meningkatkan tahap risiko operasi berbanding keadaan biasa, walaupun pesawat yang digunakan adalah sama.
Sebagai contoh, apabila keadaan berjerebu, setiap situasi perlu dinilai dengan teliti. Walaupun seseorang juruterbang sudah biasa dengan persekitaran lapangan terbang tersebut, beliau tetap memerlukan maklumat terkini mengenai jarak penglihatan, keadaan cuaca dan status operasi lapangan terbang bagi memastikan pendaratan dapat dilakukan dengan selamat.
Berdasarkan maklumat itu, juruterbang boleh membuat keputusan sama ada untuk meneruskan pendaratan, menunggu sehingga keadaan mengizinkan atau beralih ke lapangan terbang alternatif.
Bukan semua kesilapan akan menyebabkan kemalangan berlaku serta-merta. Ada kalanya kesilapan hanya menghasilkan situasi hampir berlaku kemalangan atau ‘near-miss’.
Walaupun tiada kemalangan berlaku, situasi sebegini sebenarnya merupakan amaran awal bahawa terdapat kelemahan yang perlu dikenal pasti dan diperbaiki.
Atas sebab itu, industri penerbangan mengamalkan ‘Just Culture’, iaitu budaya yang membezakan antara kesilapan manusia yang tidak disengajakan dengan kecuaian serius atau pelanggaran prosedur yang dilakukan secara sengaja.
Pendekatan ini membolehkan petugas melaporkan kesilapan dan insiden tanpa rasa takut dihukum secara tidak adil, sekali gus membantu organisasi mengenal pasti risiko sebelum ia membawa kepada akibat yang lebih buruk.
Budaya seperti ini penting kerana kemalangan besar jarang berlaku secara tiba-tiba. Kebiasaannya, tragedi besar didahului oleh pelbagai petunjuk kecil yang muncul lebih awal, namun tidak diberi perhatian sewajarnya.
Nahas Singapore Airlines Penerbangan SQ006 pada 31 Oktober 2000 sering dijadikan pengajaran tentang kepentingan menilai sesuatu kejadian dari sudut sistem keselamatan secara menyeluruh.
Kemalangan
Walaupun siasatan mendapati kru penerbangan berlepas dari landasan yang salah, siasatan turut meneliti faktor-faktor lain seperti cuaca buruk, susun atur lapangan terbang, sistem pencahayaan serta ketiadaan penghadang yang mencukupi pada landasan yang ditutup.
Kemalangan itu menyebabkan pesawat Boeing 747-400 merempuh peralatan pembinaan di atas landasan berkenaan dan mengorbankan 83 daripada 179 orang yang berada di dalam pesawat.
‘Just Culture’ bukan untuk menentukan siapa yang bersalah, tetapi untuk memahami mengapa kesilapan itu boleh berlaku dan bagaimana lapisan pertahanan keselamatan yang lain gagal menghalangnya.
Dengan cara itu, penambahbaikan dapat dilakukan bagi mengelakkan tragedi sama daripada berulang pada masa hadapan.
Selain pengurusan risiko dan budaya pelaporan, penyelenggaraan pencegahan merupakan satu lagi perkara yang sangat penting dalam penerbangan. Pesawat tidak perlu menunggu sehingga sesuatu komponen rosak sebelum kerja penyelenggaraan dilakukan.
Setiap pesawat ada manual pemeriksaan tertentu yang ditetapkan berdasarkan jumlah jam penerbangan, bilangan kitaran berlepas dan mendarat, serta tempoh kalendar.
Apabila sampai had yang ditetapkan, pemeriksaan tetap perlu dilakukan walaupun pesawat pada ketika itu kelihatan masih berada dalam keadaan baik.
Pemeriksaan juga bukan sekadar melihat keadaan luaran pesawat. Ada bahagian tertentu yang perlu diperiksa dengan lebih teliti, termasuk sistem hidraulik, pendawaian, struktur serta komponen lain yang tidak semestinya dapat dilihat dengan mata kasar.
Bagi mengesan kerosakan yang lebih kecil, kaedah seperti ‘non-destructive testing’ digunakan untuk mengetahui keadaan sesuatu komponen tanpa perlu merosakkannya ketika pemeriksaan.
Jika ada kehausan, keretakan atau keadaan yang sudah melebihi had yang dibenarkan ditemukan, tindakan perlu dilakukan segera sebelum pesawat boleh kembali digunakan.
Mungkin timbul persoalan mengapa sesuatu komponen perlu diperbaiki atau diganti sedangkan pesawat sebelum itu masih boleh terbang seperti biasa. Namun, itulah tujuan penyelenggaraan pencegahan. Kita tidak menunggu sehingga komponen tersebut benar-benar gagal ketika pesawat sedang beroperasi.
Masalah penyelenggaraan
Nahas Alaska Airlines Penerbangan 261 pada Januari 2000 memberikan gambaran tentang akibat yang boleh berlaku apabila masalah penyelenggaraan melibatkan komponen kritikal pesawat tidak diberi perhatian sewajarnya.
Pesawat MD-83 tersebut mengalami kegagalan pada sistem kawalan horizontal stabilizer yang berpunca daripada kehausan pada komponen jackscrew.
Akibatnya, pesawat itu terhempas ke Lautan Pasifik dan mengorbankan kesemua 88 orang yang berada di dalamnya. Tragedi ini menunjukkan bahawa kegagalan pada satu komponen yang kelihatan kecil berbanding keseluruhan pesawat boleh membawa kesan yang amat besar sekiranya tidak dikesan dan ditangani lebih awal.
Namun, apabila petugas mula beranggapan bahawa pemeriksaan, pelinciran atau penggantian komponen tertentu boleh ditangguhkan kerana penerbangan sebelum ini tetap beroperasi dengan selamat, mereka sebenarnya sedang membuka ruang kepada penormalan penyimpangan (normalization of deviance).
Penyimpangan yang pada awalnya dianggap kecil akhirnya diterima sebagai kebiasaan dan dijadikan amalan standard, semata-mata kerana tiada insiden yang berlaku untuk membuktikan sebaliknya. Keadaan inilah yang boleh menjadi benih kepada kemalangan yang lebih besar pada masa hadapan.
Dalam industri penerbangan, pematuhan terhadap prosedur bukan sekadar keperluan pentadbiran, tetapi merupakan asas kepada keselamatan operasi.
Bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi dan sebarang kelemahan dapat dikenal pasti lebih awal, audit keselamatan dijalankan secara berkala terhadap syarikat penerbangan, lapangan terbang serta organisasi yang terlibat dalam operasi penerbangan.
Melalui proses ini, organisasi dapat memastikan bahawa standard keselamatan yang ditetapkan tidak sekadar wujud di atas kertas, malah benar-benar diamalkan dalam operasi harian.
Langkah ini penting kerana sesuatu kelemahan tidak semestinya menghasilkan kesan serta-merta. Sebaliknya, ia boleh berkembang secara perlahan-lahan melalui amalan yang semakin menyimpang daripada prosedur asal sebelum akhirnya diterima sebagai perkara biasa.
Selain pemantauan terhadap organisasi dan prosedur, aspek kecekapan individu juga perlu dipastikan sentiasa berada pada tahap terbaik. Atas sebab itu, juruterbang menjalani latihan berulang (recurrent training) menggunakan simulator penerbangan yang membolehkan pelbagai situasi kecemasan seperti kegagalan enjin, kebakaran, kerosakan sistem dan cuaca buruk dilatih dalam persekitaran yang selamat.
Latihan ini penting kerana menghadapi kecemasan sebenar memerlukan tindak balas yang pantas dan tepat, sesuatu yang tidak dapat dibentuk melalui pengetahuan teori semata-mata.
Justeru, audit dan latihan berulang berfungsi sebagai lapisan pencegahan yang membantu mengenal pasti serta membetulkan kelemahan sebelum ia berkembang menjadi insiden atau kemalangan.
Oleh itu, selama mana sesuatu operasi kekal ‘senyap’ dan selamat, ia bukan kerana ketiadaan risiko, tetapi kerana risiko tersebut sentiasa dikenal pasti, dinilai dan dikawal melalui usaha pencegahan yang dilaksanakan dengan penuh disiplin serta tanggungjawab.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.




