SESUATU yang menarik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini ialah kehebatan dan kemenangan orang yang bernama Mohd Noor Helmy daripada memperoleh majoriti 200 undi lima tahun lalu, kini melonjak kepada 10,040 undi.
Calon BN di DUN Duyong itu menang semua 40 saluran menewaskan pencabarnya, Poo Long Suan daripada PH-DAP, yang memperoleh 5,027 undi.
Rahsianya? Kekuatan jurutera berusia 45 tahun itu, berdasarkan laporan media ialah terletak pada gabungan khidmat setempat, hubungan rapat dengan penduduk pelbagai kaum dan penggunaan media sosial yang berkesan.
Apa yang boleh dianggap ‘rahsia’ sokongan padu diterimanya?
- Cepat memberi respons kepada masalah penduduk
- Mendekati masyarakat pelbagai kaum
- Membina rekod sepanjang penggal. Menjelang pilihan raya, beliau mempertaruhkan hampir lima tahun perkhidmatan, termasuk usaha berkaitan pendidikan khas, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan latihan kemahiran.
- Menjadikan kerja lapangan sebagai kandungan media sosial. Video beliau memaparkan aduan infrastruktur, kebajikan dan interaksi santai dengan penduduk seperti “Uncle Wong” dan “Dak Nor”. Pendekatan itu membantu orang ramai mengenali personaliti beliau serta mengikuti kerja yang dilakukan.
Menggunakan media sosial itu menambat hati rakyat terutama pengundi muda, manakala respons cepatnya terhadap permasalahan penduduk diterima baik masyarakat pelbagai lapisan kaum termasuk warga emas.

Mohd Noor Helmy berjaya mengumpul lebih 1.3 juta pengikut dan 42.7 juta tanda suka dalam akaun TikTok beliau setakat Oktober 2026. Beliau juga mempunyai pandangan yang tegas dan keras terhadap isu Pendatang Asing Tanpa Izin, khususnya etnik Rohingya yang menetap di Malaysia tanpa dokumen sah.
Kerja usaha dan khidmat cemerlangnya itu perlu dijadikan ikhtibar termasuk oleh wakil rakyat kita di Sarawak meskipun tidak dinafikan ada juga kalangan Yang Berhormat (YB) kita lebih mirip ke arah itu.
Ambil iktibar
Ini juga boleh diambil iktibar oleh YB kita yang mendapat majoriti rendah pada PRN Disember 2021 dengan harapan majoriti akan meningkat pada 12 Disember 2026 nanti (andai masih dicalonkan semula).
Namun, hanya rakyat iaitu pengundi boleh menilai dan menentukan apa dia buat sepanjang hampir lima tahun lalu. Sebaliknya, walau apapun coretan ‘gah’ di media termasuk media sosial seperti TikTok, andai rakyat di kawasan tidak merasai perubahan sebenar dilakukan… pasti akan turut dinilai menerusi peti undi.
Pada PRN 2021 di Sarawak, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menang dengan majoriti kurang daripada 200 undi termasuk seorang 23 undi sahaja dan seorang lagi 261 undi.
Dan pada kali ini, andai dicalonkan semula, mereka perlu lebih berhati-hati dengan penampilan pencabar masing-masing. Sekali lagi khidmat mereka pasti dinilai oleh rakyat sepanjang lima tahun lalu, bukan kerana kerap berada di kawasan sejak beberapa minggu atau bulan, kebelakangan ini.
Bayangkan jumlah pengundi bawah 46 tahun mencecah 58.2 peratus daripada jumlah 2,058,781 orang. Dari satu sudut, bagi golongan muda ini sudah tentu mahukan calon sebaya mereka.

Terpulang kepada parti politik masing-masing untuk menampilkan kriteria calon mereka. Malah tidak salah mencalonkan semula mereka yang berpengalaman, tetapi perkhidmatan cemerlang untuk digabung dengan calon anak muda.
Jumlah pengundi pada PRN 2021: 1,252,014 orang. Jumlah pemilih terkini SPR pada 6 November 2026: 2,058,781 orang iaitu pertambahan lebih 806,000 pemilih, bersamaan kira-kira 64.4 peratus.
Pecahan umur yang dilaporkan ialah usia 18–20 tahun (6.2 peratus); 21–30 tahun (22 peratus), 31–45 tahun (30 peratus),
46–59 tahun (21 peratus) dan 60 tahun ke atas 20 peratus.
Sementara itu, apabila Facebook Utusan Sarawak menyiarkan saban hari poster penyandang kerusi DUN atas tajuk ‘Tahukah Anda?’, pelbagai komen dilontarkan.
Ada yang memuji, ada yang mengeji. Malah dakwaan YB (penyandang) itu dan ini, kurang membawa pembangunan pun ada. Ada juga nitizen yang puji YB kerana banyak mencurahkan pembangunan di kawasan.
Keperluan penduduk
Itu pendapat masing-masing dan terpulang kepada pengundi untuk menilai nanti. Apa yang lebih penting ialah apa kata penduduk di kawasan yang diwakilinya rasai, bukan orang luar kawasan yang cuma ‘menceduk berita dibawa angin lalu’ yang kesahihannya diragui.
Jika diamati betul-betul, memang banyak peruntukan untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP) selain Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan DUN masing-masing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini berikutan peruntukan besar diberi kepada ADUN dan terpulang kepada mereka bagaimana mencurahkan peruntukan itu untuk pembangunan kawasan.
Untuk rekod, setiap ADUN yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), diberi peruntukan RM5 juta setahun bagi melaksanakan pelbagai projek RTP, manakala setiap Ahli Parlimen GPS juga diberi peruntukan RM2.5 juta setahun oleh kerajaan Sarawak bagi melaksanakan pelbagai Projek Tranformasi Luar Bandar.
Peruntukan besar ini mula diagihkan kepada wakil rakyat – DUN dan Parlimen, sejak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambilalih kepemimpinan negeri.
Ini bukan bermakna, Ketua Menteri Sarawak sebelum ini tidak memberi peruntukan banyak kepada wakil rakyat untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan.
Hakikatnya, semua ini bermula apabila hasil negeri bertambah sekali ganda berikutan langkah kerajaan Sarawak mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas minyak dan gas.
Bukan sahaja Petronas perlu membayar SST, malah syarikat minyak lain seperti Shell dan Murphy Oil.
Sejak diperkenalkan pada Januari 2019, hasil Cukai Jualan Negeri (SST) telah menjana RM24.77 bilion kepada kerajaan Sarawak.
Namun, yang juga membezakan kelebihan seseorang wakil rakyat ialah kehadirannya ketika ada kes kematian, perkahwinan, keramaian dan kecemasan seperti kemalangan membabitkan penduduk di kawasan.
Perahu kecil mudik ke hulu,
Singgah sebentar di Kuala Rajang,
Lima tahun khidmat mu berlalu,
Di peti undi rakyat menimbang.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak




