SARATOK: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Rumah Dayak yang menempatkan seramai 90 mangsa banjir mewakili 21 keluarga dari Rumah Ason, Tembawai Kapok Awik, ditutup sepenuhnya hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.
Beliau berkata PPS Dewan Rumah Dayak yang diaktifkan pada jam 3.30 petang 19 Januari lalu, ditutup pukul 3 petang hari ini berikutan rumah panjang tersebut sudah selamat didiami.
“PPS Dewan Rumah Dayak Saratok ditutup pukul 3 petang dan kesemua 90 mangsa daripada 21 keluarga dari Rumah Ason, Tembawai Kapok Awik itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Menurutnya lagi, PPS Dewan Rumah Dayak tersebut dijadikan pusat pemindahan sejak petang 19 Januari lalu susulan hujan tanpa henti yang berlaku sejak sepanjang malam mengakibatkan paras air di Sungai Lubok Nibong, Awik naik secara mendadak di mana kediaman mereka ditenggelami air.
“Kesemua mangsa pada masa kejadian terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan ditempatkan di pusat pemindahan selepas rumah panjang mereka ditenggelami air,” katanya.
Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Saratok mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua agensi penyelamat yang telah bertungkus lumus dalam mengendalikan bencana banjir kali ini.
Dalam pada itu, Nur Athirah turut menasihati penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia menghadapi musim banjir.
“Syukur Alhamdulillah penduduk dari Rumah Ason, Tembawai Kapok Awik telah memberikan kerjasama penuh dan mereka segera meninggalkan rumah apabila arahan dikeluarkan,” jelasnya.
Beberapa hari lalu, PPS Dewan Rumah Dayak terpaksa dipindahkan ke Dewan Masyarakat Sri Krian atas faktor tidak dapat menampung jumlah mangsa terlalu ramai.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik turut menyantuni mangsa banjir yang berada di PSS Dewan Masyarakat Sri Krian, Saratok hari ini.