SARATOK: Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok berjaya menangkap seekor ular bakau sepanjang kira-kira 1.8 meter yang ditemui di sebuah bilik asrama kosong Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok, semalam.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.13 malam yang memaklumkan mengenai kelibat seekor ular di dalam bilik asrama berkenaan.
Menurutnya, tiga anggota Skuad Charlie kemudian digerakkan ke lokasi pada 9.15 malam dan tiba 10 minit kemudian sebelum operasi menangkap reptilia berkenaan dimulakan.
“Setibanya di lokasi, ketua skuad memastikan semua anggota memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum operasi dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati benar terdapat seekor ular bakau di dalam bilik asrama kosong tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi yang mengambil masa kira-kira 13 minit itu berjaya diselesaikan pada 9.38 malam selepas anggota menggunakan teknik menyepit untuk menangkap ular terbabit.
Operasi berkenaan melibatkan tiga anggota APM, iaitu Prebet Ikhtiaruddin Yafiq Ahmad Sufian, Prebet Mohd Khairul Safwan Lawie dan Prebet Zainal Zamran.
Pasukan berkenaan menggunakan peralatan termasuk dua penyepit ular, penjerut, kotak khas ular, lampu suluh, sarung tangan serta topi keledar keselamatan sepanjang operasi.
Oleh Adi Safarman



