MALUDAM: Sesi perjumpaan dan perbincangan bersama masyarakat Maludam menjadi platform penting bagi mendengar pandangan, mengenal pasti keperluan serta memahami isu yang dihadapi penduduk setempat.
Sesi yang berlangsung semalam itu diadakan di Perpustakaan Maludam yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Menurut Dayang Noorazah, pertemuan secara langsung bersama masyarakat amat penting bagi memastikan setiap pandangan dan maklum balas yang disampaikan dapat diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, sesi berkenaan turut memberi ruang kepada penduduk untuk membincangkan perkara berkaitan kesejahteraan masyarakat selain mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan.
“Komunikasi secara langsung antara masyarakat dengan wakil rakyat penting supaya perkara yang dibangkitkan dapat diperjelas dan diberi perhatian untuk tindakan susulan yang bersesuaian,” katanya.
Tambah beliau, pandangan serta maklum balas penduduk juga membantu mengenal pasti keutamaan setempat dan memperkukuh penyelarasan bersama pihak-pihak berkaitan.
Jelasnya, pendekatan berterusan melalui sesi libat urus seperti itu penting bagi memastikan suara masyarakat sentiasa didengar serta menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan penduduk di kawasan Maludam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk yang hadir dan memberikan kerjasama dalam menjayakan sesi berkenaan.
Oleh Adi Safarman



