KUCHING: Polis Kuching merampas dadah disyaki methamphetamine seberat 164.39 gram bernilai kira-kira RM8,650 serta menahan tiga suspek tempatan dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata operasi pada 26 dan 29 September itu turut membawa kepada penemuan 157.20 gram dadah bernilai kira-kira RM7,860 dalam serbuan pertama.
Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira 5.45 petang, 26 September lalu, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan di tepi Lorong Satok.
“Pemeriksaan terhadap suspek dan pemeriksaan lanjut di rumahnya di kawasan Chong Ling Park membawa kepada penemuan 157.20 gram dadah disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM7,860,” katanya hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau.
Suspek direman selama empat hari, dari 27 hingga 30 September, bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi kedua kira-kira 1.40 petang tadi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun di sebuah rumah di Kampung Semerah Padi.

Alexson berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 7.19 gram dadah disyaki methamphetamine bernilai kira-kira RM790.
“Kedua-dua suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine melalui ujian saringan awal air kencing. Suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah lampau, manakala suspek wanita mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kedua-dua suspek direman selama empat hari, dari 30 September hingga 3 Oktober, bagi membantu siasatan.
Alexson berkata, kejayaan kedua-dua operasi itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, JSJN kekal komited memerangi aktiviti dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng





