MIRI: Buah-buahan tempatan yang tidak habis dijual dan mula rosak wajar ditawarkan pada harga lebih rendah atau dilelong bagi mengurangkan pembaziran makanan, kata seorang penduduk, Badrul Ahmad.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah makanan yang dibuang, malah memberi peluang kepada pengguna mendapatkan buah-buahan bermusim pada harga lebih murah.
“Kalau buah sudah tidak banyak permintaan, lebih baik peniaga turunkan harga atau jual secara lelong. Walaupun untung sedikit, sekurang-kurangnya buah itu tidak berakhir sebagai sisa,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Beliau berkata, peniaga juga boleh menawarkan harga runtuh pada penghujung hari bagi memastikan stok buah yang masih elok dapat dihabiskan.

Menurut Badrul, pendekatan itu boleh menjadi pilihan kepada peniaga sebelum buah-buahan yang tidak terjual rosak dan akhirnya terpaksa dibuang.
Tinjauan Utusan Sarawak di Tamu Muhibbah di sini mendapati sebahagian buah-buahan yang tidak habis dijual dan mula rosak dibuang begitu sahaja.
Keadaan itu menunjukkan masih terdapat ruang untuk peniaga mengambil pendekatan alternatif, termasuk menawarkan potongan harga atau jualan lelong bagi mengurangkan pembaziran dan memastikan buah yang masih boleh dimakan dimanfaatkan.
Oleh Liong Chai Ling




