Vandalisme menara telekomunikasi ganggu rangkaian di Bekenu

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto janaan AI

BEKENU: Sebanyak 478 kes vandalisme direkodkan di Bahagian Miri pada Mei lalu, dengan Bekenu dan Beluru antara kawasan yang mencatat jumlah kes tertinggi.

Masalah vandalisme, khususnya terhadap infrastruktur telekomunikasi, turut menjadi isu serius di Batu Niah, Sepupok dan Bekenu apabila kejadian berkenaan menyebabkan gangguan rangkaian sejak kebelakangan ini.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Cawangan Miri, Fadzlida Hanim Abdul Razak, berkata vandalisme membabitkan menara telekomunikasi merupakan isu keselamatan serius kerana boleh mengakibatkan gangguan rangkaian serta kerugian besar kepada kerajaan dan penyedia perkhidmatan.

Menurutnya, antara sasaran utama kegiatan berkenaan ialah komponen bernilai di tapak menara seperti kabel tembaga, bateri sandaran, komponen elektronik serta minyak diesel untuk penjana elektrik.

“Selain kecurian komponen utama, infrastruktur fizikal turut mengalami kerosakan, termasuk pagar keselamatan dipotong dan kabinet peralatan dirosakkan.

“Keadaan ini memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan, sekali gus boleh menjejaskan capaian internet serta perkhidmatan panggilan penduduk di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi libat urus yang dianjurkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bekenu, di sini hari ini.

Fadzlida Hanim berkata, kegiatan vandalisme terhadap menara telekomunikasi bukan sahaja menyebabkan kerosakan fizikal, malah memberi kesan langsung kepada pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan komunikasi bagi urusan harian, kecemasan dan aktiviti ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama antara Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), MCMC serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperkukuhkan menerusi pemantauan berkala dan pemeriksaan mengejut di premis barangan lusuh.

Katanya, langkah tersebut penting bagi membendung penjualan kabel serta komponen telekomunikasi yang dipercayai dicuri daripada tapak menara.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan infrastruktur telekomunikasi terus dilindungi dan gangguan kepada pengguna dapat diminimumkan.

“Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya melihat sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran menara atau kemudahan telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata, penyaluran maklumat oleh masyarakat kepada pihak berkuasa dapat membantu membanteras kegiatan vandalisme serta melindungi kemudahan awam yang penting kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.

Oleh Adum Liu