SIBU: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah dianggarkan berjumlah keseluruhan RM402,052 di sebuah Apartment Jalan Wong King Howe, Sibu, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pemeriksaan 2.15 pagi itu dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis telah menjumpai (71) paket plastik warna pulih bertulis “Juice Master” berisi serbuk jus disyaki campuran dadah jenis Ecstacy (berat kasar 2,294 gram), (1,511) biji pil pelbagai jenis disyaki dadah jenis Ecstacy (berat kasar 566.73 gram), (43) paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Ketamine (berat kasar 273 gram) dan (26) paket plastik warna putih berisi ketulan kekuningan dan serbuk putih disyaki dadah jenis Ecstacy (berat kasar 25,447 gram).
“Nilai semasa keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM402,052 ” katanya pada sidang media, hari ini.
Katanya, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Ford Ranger milik suspek yang bernilai RM146,000.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Benzodiazepines (Meth/Benzo).
“Suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah.
“Susulan rampasan ini, suspek kini ditangkap di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952, dan ditahan reman selama (7) hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tegasnya, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati.
Ujarnya lagi, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih (2) tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama (2) tahun dibawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR