BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah ditahan oleh pasukan Pasukan Khas IPD Meradong kira-kira 11.10 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan ketika sepasukan polis menjalankan Ops Tapis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong untuk tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing terhadap suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berdasarkan semakan rekod lampau, didapati suspek mempunyai rekod jenayah bersabit kesalahan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tansli berkata, suspek kini berdepan siasatan mengikut peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, akan didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut,” katanya.
Pada masa sama, orang ramai digalakkan bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan dadah yang berlaku di Daerah Meradong.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek





