BAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan merampas 0.38 gram dadah yang disyaki dalam satu operasi bersepadu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Opar, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (JSJND) bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira 10.50 pagi.
“Dalam operasi tersebut, polis merampas 0.38 gram dadah yang disyaki bernilai kira-kira RM40 daripada suspek.
“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, suspek turut mengaku kali terakhir mengambil dadah dua hari sebelum ditangkap.
Haide berkata, suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau dan permohonan reman dijangka dibuat esok.
Oleh Connie Chieng




