
MARUDI: Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi berjaya menahan dua lelaki dan merampas 60 gram dadah jenis syabu bernilai RM6,600 dalam satu operasi khas di Long Lama pada Isnin.
Ketua Polis Daerah (KPD) Marudi, Deputi Suprentenden (DSP) Nor Aizan Mohd Jamil dalam kenyataan beliau, tangkapan ke atas kedua-dua suspek berdasarkan maklumat risikan pada hari tersebut sekitar 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang.
Kedua-dua suspek tempatan yang berusia antara 32 hingga 47 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan didapati positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine hasil ujian saringan awal.
Menurut DSP Nor Aizan, sebanyak 60 gram dadah jenis syabu telah dirampas, yang dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 600 orang penagih.
Dalam operasi yang sama, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernilai RM45,000. Siasatan awal mendapati bekalan dadah diperoleh dari Miri dan dipercayai untuk diedarkan kepada pekerja buruh kasar di kawasan perladangan sekitar Long Lama.
Tambah beliau, pihak polis telah memperoleh perintah reman terhadap kedua-dua suspek selama tujuh hari bermula 6 Mei hingga 13 Mei ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
DSP Nor Aizan turut menegaskan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) komited untuk memerangi dadah yang dianggap musuh nombor satu negara, dan menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline JSJN di 012-2087222.
Oleh Jiku Juguong