ROBАN: Kegiatan menjual nombor loteri awam haram di sekitar pekan ini terbongkar selepas seorang lelaki tempatan ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok dalam satu operasi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dibuat kira-kira 3.09 petang di sebuah Pondok Rehat Tebingan Sungai, di sini.
Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihak polis mengesan aktiviti perjudian nombor loteri awam haram yang dipercayai dijalankan di kawasan berkenaan.
“Dalam serbuan tersebut, polis menahan seorang lelaki tempatan yang berada berseorangan di dalam pondok rehat berkenaan.
“Hasil pemeriksaan turut membawa kepada penemuan beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penjualan nombor loteri awam haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek yang dikenal pasti berusia 46 tahun dari Roban itu dipercayai mengaku menjalankan aktiviti sebagai agen jualan nombor loteri awam haram di sekitar pekan ini.
Menurut DSP Mathew, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingan.
Dalam operasi itu, polis turut merampas satu keping keratan kertas yang tercatat nombor loteri awam haram, sejumlah wang tunai campur-campur serta sebatang pen dakwat hitam jenama G’Soft.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif,” katanya.
Semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 4A(a) ARJT 1953 dan pihak polis menyifatkan kes berkenaan sebagai selesai selepas tindakan tangkapan serta rampasan dilakukan.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang bentuk perjudian haram dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui kewujudan kegiatan sedemikian di kawasan masing-masing.
Oleh Adi Safarman





