Warga emas 74 tahun rugi RM220,000 dalam penipuan pelaburan saham dalam talian

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto olahan AI

KUCHING: Seorang warga emas berusia 74 tahun kerugian RM220,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud secara dalam talian yang diiklankan menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa melihat iklan pelaburan saham berkenaan di Facebook ketika berada di rumah pada 31 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa kemudian menekan pautan WhatsApp yang disediakan dan disambungkan kepada satu nombor telefon yang memperkenalkan diri sebagai pentadbir bagi Network 1 Agency Sdn Bhd.

“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan dan diarahkan mengakses laman sesawang yang didakwa milik Network 1 Agency Sdn Bhd bagi memasukkan dana atau modal pelaburan dengan janji memperoleh keuntungan lumayan,” katanya hari ini.

Alexson berkata, mangsa seterusnya membuat pembayaran secara berperingkat ke empat akaun bank berbeza menerusi lapan transaksi pindahan dalam talian.

Menurutnya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan yang dipaparkan dalam aplikasi pelaburan berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM220,000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong seseorang menyerahkan harta.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Alexson turut menasihati orang ramai supaya menyemak senarai entiti pelaburan berlesen melalui laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang pelaburan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Mangsa penipuan yang menyedari telah mengalami kerugian boleh menghubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 dalam tempoh 24 jam.

Sebarang aktiviti mencurigakan juga boleh dilaporkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak melalui talian 011-62890089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my.

Oleh Connie Chieng