Buaya sepanjang 4.32 meter ditangkap dalam operasi malam

Facebook
WhatsApp
BERJAYA DITANGKAP.....Jeffery (dua kiri) bersama pasukannya dan pihak SFC berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 4.32 meter di Sungai Sebedil, Batang Igan. Foto Jeffery Siew

SIBU: Seekor buaya sepanjang 4.32 meter yang mengganggu aktiviti nelayan penduduk di Sungai Sebedil, Batang Igan berjaya ditangkap dalam satu operasi pada waktu malam, baru-baru ini.

Ketua Pasukan Pemburu Buaya Sibu, Jeffery Siew berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan penduduk mengenai kehadiran reptilia berkenaan yang dipercayai merosakkan pukat, memakan hasil tangkapan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan.

“Keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk berasa tidak selamat untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan sungai berkenaan,” jelasnya.

Menurutnya, operasi menangkap buaya itu dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi mengesan dan menangkap reptilia berkenaan dengan selamat.

Katanya, pasukan terbabit menjalankan operasi menggunakan bot dalam keadaan gelap bagi menjejaki buaya yang dipercayai bersembunyi di kawasan sungai.

“Hasil operasi, buaya berukuran 4.32 meter itu berjaya ditangkap tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan,” ujarnya.

Beliau berharap tangkapan tersebut dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan penduduk setempat, khususnya penduduk yang bergantung kepada sungai untuk mencari rezeki.

“Kerjasama antara pasukan operasi dan SFC turut menunjukkan kepentingan tindakan bersepadu dalam menangani konflik antara manusia dengan buaya,” ujarnya.

Tambahnya, pasukannya akan terus memasang kail di kawasan Sungai Sebedil, Batang Igan kerana masih terdapat buaya besar di kawasan terbabit.

Jeffery menegaskan, operasi sedemikian bukan sahaja bertujuan melindungi keselamatan komuniti, tetapi juga memastikan pengurusan hidupan liar dilakukan secara terkawal dan selamat.

“Ini bukan sekadar satu operasi, ia adalah usaha untuk memastikan sungai kembali selamat kepada masyarakat. Ia mengenai melindungi para nelayan, keluarga dan penduduk kampung,” kata beliau.

Oleh Akun Giman

Tokoh seni budaya Terengganu meninggal dunia

KUALA TERENGGANU: Tokoh Seni Budaya Terengganu Wan Salmah Wan Sulaiman, 82, meninggal dunia akibat kekurangan oksigen di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)