Polis tahan lima lelaki disyaki curi transformer, kabel di substesen SEB

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto olahan AI

SERIAN: Polis menahan lima lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk substesen Sarawak Energy Berhad (SEB) serta mencuri transformer dan kabel milik syarikat utiliti berkenaan di daerah Serian.

Ketua Polis Daerah Serian Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata kesemua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian semalam berdasarkan maklumat risikan.

Beliau berkata tangkapan itu dibuat susulan siasatan terhadap kes kecurian transformer dan kabel milik Sarawak Energy Berhad yang dilaporkan berlaku kira-kira 12.30 tengah hari pada 8 September 2026.

“Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai merupakan motosikal curi,” katanya.

Hasil semakan mendapati motosikal berkenaan mempunyai kaitan dengan laporan polis Siburan/1985/26, yang dibuat selepas motosikal itu dilaporkan hilang pada 22 Julai 2026.

Polis turut merampas sebilah senjata yang menyerupai kerambit daripada salah seorang suspek ketika tangkapan dilakukan.

Freddy berkata semakan rekod mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau, suspek kedua satu rekod, suspek ketiga tiga rekod, suspek keempat tiga rekod dan suspek kelima empat rekod.

“Rekod lampau tersebut melibatkan kesalahan berkaitan dadah dan jenayah harta benda,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Serian bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes-kes kecurian di daerah berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Freddy turut menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di daerah Serian.

Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Serian melalui talian 082-874201 atau laman Facebook Polis Daerah Serian.

Oleh Connie Chieng