BAU: Polis mengeluarkan lapan saman dalam operasi yang dijalankan di Jalan Bau-Kuching dan Jalan Siniawan hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, operasi yang dijalankan dari 9.30 pagi hingga 11.00 pagi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 35 kenderaan dan 47 individu.
“Daripada jumlah kenderaan diperiksa, 15 ialah motosikal, lima kereta, lima kenderaan pacuan empat roda/pikap, lima lori dan lima van,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kesemua lapan saman dikeluarkan di bawah PDRM (K)257, melibatkan satu kesalahan lori kerana muatan tidak dikemas dengan baik dan tujuh kesalahan motosikal.
“Kesalahan motosikal membabitkan empat kes pengubahsuaian ekzos dan tiga kesalahan kerana tidak mempunyai cermin sisi,” katanya.
Mohd Haide berkata, tiada tangkapan, rampasan atau sitaan dibuat sepanjang operasi berkenaan.
Beliau berkata, operasi berjalan lancar dalam keadaan cuaca baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini.





