BINTULU: Di sebalik negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, seorang peniaga juga anak tempatan berjaya meraih pendapatan sehingga RM2,000 hingga RM3,000 sehari menerusi hasil jualannya.
Mandi Belong, merupakan peniaga kedai runcit memanfaatkan saat PKP yang dikuatkuasakan untuk mencari sumber rezeki de- ngan menjual sayuran dan daging kepada pengguna.
“Saya sedar dengan PKP, ramai yang duduk di rumah oleh itu saya telah membeli daging dan sayur untuk diedarkan kepada pengguna”.
“Seperti biasa saya akan menghubungi mereka terlebih dahulu dan sekiranya ada yang menempah seawal jam 4.00 pagi saya akan berusaha untuk mendapatkan bekalan makanan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Menurutnya, sebagai peniaga mereka hendaklah lebih proaktif dalam usaha mencari rezeki khususnya dalam tempoh PKP yang dikuatkuasakan ketika ini.
“Saya akan membeli daging dari rumah panjang atau sayur sama ada dari rumah panjang mahupun pasar tamu Bintulu untuk diedarkan kepada mereka yang telah menempah mahupun yang datang sendiri untuk membeli,” katanya.
Jelasnya, perkhidmatan telefon digunakan untuk mencari pelanggan bagi mendapatkan barangan yang dijualnya.
“Mungkin ini rezeki namun kena ada usaha dan berfikir khususnya ketika ada yang duduk di rumah dan semua orang sememangnya ingin mendapatkan sumber makanan,” katanya.
Bagaimanapun tambahnya, beliau sentiasa me- ngutamakan kebersihan dan keselamatan diri khususnya untuk menghindari daripada wabak Covid-19.