ATM sedia atur gerak aset udara bantu KKM laksana FDS – PAT

Facebook
WhatsApp
PANGLIMA Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera (ATM) bersedia mengatur gerak aset udaranya bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), khususnya bagi kes pemindahan perubatan kecemasan di kawasan pedalaman.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata ia bagi menampung keperluan mendesak KKM susulan insiden nahas helikopter FDS yang terhempas di Miri, Sarawak pada Selasa lepas.

Beliau berkata ATM mempunyai kemudahan serta helikopter yang mencukupi untuk melaksanakan misi itu, sekali gus sedia bekerjasama sebaik sahaja permohonan rasmi diselaraskan di peringkat kementerian.

“Sebagai penyedia perkhidmatan dalam konteks keselamatan menyeluruh serta bantuan kecemasan, kami akan tampung kelompangan pada waktu kritikal ini, terutamanya di kawasan yang sukar diakses.

“Kami sedia penuhi permintaan pihak kementerian dan menyelaraskan gerak kerja operasi ini bersama-sama bagi memastikan perkhidmatan untuk rakyat tidak terjejas,” katanya pada Sesi Temu Bual Khas PAT sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan hari ini. 

Malek Razak bagaimanapun menjelaskan bantuan ATM itu tertumpu kepada sokongan pemindahan kecemasan dan bukannya mengambil alih pengoperasian perubatan rutin KKM secara keseluruhan.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan empat agensi kerajaan, termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan membantu KKM melaksanakan penerbangan ihsan buat sementara waktu.

Langkah alternatif yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia itu diambil sementara menunggu hasil siasatan dan penambahbaikan aspek keselamatan operasi FDS selesai.

Tragedi helikopter BO-105 yang terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang pada Selasa lepas mengorbankan lima nyawa, termasuk empat petugas perubatan KKM.

Mereka yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40. – Bernama