KUCHING, 3 November: Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merekodkan 31 operasi berjaya dengan nilai rampasan dianggarkan RM22.75 juta menerusi beberapa siri operasi penguatkuasaan di seluruh negeri sepanjang 15 hingga 31 Oktober lalu.
Komander Briged PGA Sarawak, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan 38 individu, terdiri daripada 27 warga tempatan dan 11 warga asing.
Menurutnya, operasi yang dilaksanakan menerusi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Chiller dan Op Taring Libas itu menyasarkan pelbagai kegiatan menyalahi undang-undang.
Antaranya termasuk pemilikan dan penjualan rokok serta minuman keras tanpa pelepasan Kastam, penyelewengan diesel, penyeludupan barangan kawalan dan makanan sejuk beku, kesalahan imigresen dan dadah serta kegiatan pengumpulan dan pemprosesan kayu balak tanpa dokumen atau permit sah.
Beliau berkata, menerusi Op Taring Alpha, sebanyak 19 operasi berjaya dilaksanakan di Kuching, Kota Samarahan, Sibu, Miri, Sri Aman, Serian, Lubok Antu dan Betong.
Operasi itu membabitkan kesalahan memiliki dan menjual rokok serta minuman keras tanpa pelepasan Kastam.

“Hasil operasi, sebanyak 2,558 karton rokok pelbagai jenama, lebih 1,800 liter minuman keras, tiga kenderaan serta barangan lain dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.31 juta,” katanya.
Sementara itu, Op Taring Bravo di Sibu berjaya membongkar kegiatan yang disyaki melibatkan penyelewengan diesel.
Operasi berkenaan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan tujuh lelaki warga asing, selain rampasan 500,000 liter diesel serta sebuah vesel dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM14.54 juta.
Bagi Op Taring Batas/Awas, sebanyak lima operasi berjaya dilaksanakan di Serian, Lundu dan Lubok Antu membabitkan kesalahan dadah, imigresen serta penyeludupan makanan sejuk beku dan barangan kawalan seperti beras, minyak masak dan gula kasar.
Antara barangan dirampas ialah 4,315 kilogram produk daging sejuk beku, 14,560 pek sosej sejuk beku, beras, minyak masak, gula kasar, dua lori, sebuah kereta, telefon bimbit serta wang tunai.
Nilai keseluruhan rampasan bagi operasi itu dianggarkan RM911,976.29.
Dalam pada itu, Op Taring Chiller merekodkan lima operasi berjaya di Padawan, Miri, Kuching, Sibu dan Betong yang menyasarkan kegiatan penyimpanan serta pengedaran produk makanan sejuk beku tanpa permit sah.
Operasi berkenaan membawa kepada rampasan lebih 149,000 kilogram pelbagai produk sejuk beku termasuk daging babi, daging, ikan dan ayam.
Turut dirampas ialah tiga jentera forklift, sebuah kemudahan penyimpanan sejuk beku serta pelbagai peralatan dan mesin pemprosesan, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.49 juta.
Sementara itu, menerusi Op Taring Libas di Marudi, pasukan PGA berjaya mengesan kegiatan pengumpulan dan pemprosesan kayu balak tanpa dokumen atau permit sah.
Operasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan 2,440 batang kayu balak yang telah diproses dalam pelbagai saiz, sebuah forklift dan pelbagai peralatan serta mesin pemprosesan kayu.
Nilai keseluruhan rampasan bagi operasi berkenaan dianggarkan RM1.5 juta.
Lim berkata, kejayaan siri operasi itu mencerminkan komitmen berterusan Briged PGA Sarawak dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan aktiviti menyalahi undang-undang, selain memperkukuh penguatkuasaan di seluruh negeri.





