
BAU: Perlumbaan Jong Regata, salah satu acara ikonik yang meraikan warisan dan keunikan masyarakat tempatan, kembali memeriahkan Daerah Bau.
Acara tradisional yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat itu merupakan antara pelbagai program menarik yang telah disusun sepanjang 11 hari penganjuran sempena Pesta Tasik Biru 2025, yang berlangsung di kawasan sekitar Tasik Biru.
Pesta Tasik Biru 2025 turut disusuli dengan perasmian Tasik Biru Resort City, bersempena sambutan 205 Tahun Daerah Bau yang berlangsung dari 15 hingga 25 Mei 2025.
Majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 15 Mei di Pentas Utama Tasik Biru Resort City, sebuah mercu tanda pembangunan baharu yang berpotensi menjadi pemangkin utama kepada sektor pelancongan, ekonomi tempatan, serta pembangunan komuniti di Bau.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata penganjuran Pesta Tasik Biru diadakan secara besar-besaran memberi impak ekonomi kepada penduduk tempatan serta merancakkan industri pelancongan Daerah Bau.
Menurutnya, orang ramai juga berpeluang menyaksikan kemeriahan lampu jambatan Tasik Biru dan persembahan bunga api.
Henry berkata sepanjang tempoh pesta, Gawai Bazar Bau akan beroperasi setiap hari dari 9.00 pagi hingga 11.00 malam, menampilkan produk kraf tangan, makanan tempatan dan pelbagai barangan komuniti.
“Selain itu, turut berlangsung persembahan hiburan rakyat, busking dan acara pentas yang akan memeriahkan suasana malam di Tasik Biru Resort City.
“Program lain termasuk Karnival Sukan Bau termasuk liga bola sepak, e-sports, badminton, pertandingan gusti lengan, memasak tradisional, zumba, malam bakat serta Miss & Mrs Tasik Biru dan banyak lagi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, segala persiapan sudah berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan terlibat termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025 & Perasmian Tasik Biru Resort berlangsung di Pejabat Daerah Bau hari ini. Turut hadir Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi.