BINTANGOR: Pesta Meradong 2024 berlangsung selama sembilan hari bermula 23 November hingga 1 Disember 2024, manakala pesta jualan dan program lain yang dianjurkan oleh Good Luck Event Enterprise bermula 23 November hingga 8 Disember 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Meradong 2024 yang juga Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang berkata, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysian (PDRM) dan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) di atas kelulusan permit penganjuran dan permit jualan.
“Sejumlah 28 aktiviti di bawah lapan kluster aktiviti diadakan untuk Pesta Meradong 2024.
“Pertama adalah kluster sukan rakyat mempunyai enam aktiviti iaitu kejohanan badminton, bola sepak, petanque, tarik tali, gusti lengan dan ‘strongman challenge’.
“Kluster kedua iaitu sukan air mempunyai dua aktiviti iaitu pertandingan memancing dan RC Powerboat River Challenge,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pesta tersebut, malam tadi.
Bagi kluster ketiga, aktiviti yang diadakan adalah permainan dalaman (indoor game) iaitu Mobile Legend dan pertandingan dart.
“Kluster keempat adalah kreatif dan kebudayaan termasuklah Malam Kebudayaan Chung Hua, Pekit (Pertandingan) Betaboh Ngajat, perarakan tanglung dan kereta berhias, fesyen kanak-kanak cilik, pertandingan nyanyian karaoke Iban, Voice of Meradong, pertandingan ibu vogue, pertandingan ratu budaya kreatif dan Bintangor Childrens Day.
“Kluster kelima adalah keusahawanan iaitu jualan keusahawanan oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pesta jualan.
“Kluster keenam adalah permotoran iaitu Mini Bike Gathering 2.0 dan ketujuh adalah kluster kesihatan.
“Kluster kesihatan terdapat lima acara iaitu senamrobik, pameran dan ceramah kesihatan, taklimat pencegahan dadah, saringan kesihatan, vaksinasi anti rabies dan perlesenan anjing,” katanya.
Tambahnya, kluster kelapan adalah pertanian dan pendidikan iaitu taklimat diseminasi teknologi pertanian, hari kerjaya karnival pendidikan dan hari terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Meradong.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab; Gung Chiu Kion selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii; Pemanca Yii Hee Seng selaku wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing dan Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Sekam Anoi.
Oleh Earl Anek