SIMANGGANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Komuniti MADANI Kampung Lemanak telah menghulurkan sumbangan kepada anggota tentera yang bertugas semasa penganjuran Pesta Benak 2024.
Menurut Ketua Kampung Lemanak, Jamali Hamden sumbangan berupa air minuman dan makanan kepada anggota tentera itu adalah bagi menghargai sumbangan penat lelah bertugas sepanjang empat hari pesta tersebut berlangsung.
“Ini adalah aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) JKKK serta Komuniti MADANI Kampung Lemanak bagi menyatakan ucapan terima kasih kepada anggota tentera yang bertugas.
“Kita berharap sumbangan yang disampaikan itu dapat dimanfaatkan kepada petugas menjalankan tanggunjawab mereka bagi melancarkan penganjuran Pesta Benak 2024,” katanya.
Jamali berkata walaupun sumbangan yang disampaikan itu tidak seberapa, ia diyakini akan memberi makna yang besar kepada petugas-petugas terbabit.
“Justeru kita harus menghargai sumbangan yang diberikan oleh anggota tentera dalam melakukan apa-apa penugasan mereka demi negeri tercinta ini, dan dengan cara ini kita hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada petugas tentera ini,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Lemanak, Alfian Abu Bakar; Setiausaha Komuniti MADANI, Abdul Manan Abdul Latip dan ahli jawatankuasa Komuniti MADANI, Jafarudin Deraman.
Oleh ADI SAFARMAN