ENJIN antara komponen terpenting pada pesawat kerana ia menghasilkan tujahan untuk menggerakkan pesawat ke hadapan.
Namun enjin bukanlah bahagian yang secara langsung membuatkan pesawat kekal di udara.
Apabila pesawat bergerak, udara akan melalui permukaan sayap dan menghasilkan daya angkat. Selagi kelajuan yang diperlukan masih ada, sayap masih dapat menjalankan fungsinya.
Oleh sebab itu, kehilangan sebuah enjin tidak semestinya menyebabkanterus jatuh.
Pesawat pula dibina dengan bilangan enjin yang berbeza-beza. Kebanyakan pesawat kecil menggunakan satu enjin terutama bagi latihan penerbangan, penerbangan persendirian dan kerja-kerjaringan.
Pesawat penumpang masa kini kebanyakannya mempunyai dua enjin. Sebelum teknologi enjin berkembang seperti sekarang, pesawat tiga atau empat enjin lebih banyak digunakan terutama untuk penerbangan jarak jauh.
Boeing 727 contohnya menggunakan tiga enjin manakala Boeing 747 dan Airbus A340 menggunakan empat enjin.
Penggunaan lebih banyak enjin pada ketika itu berkait dengan jumlah tujahan yang diperlukan dan tahap kebolehpercayaan enjin pada zamannya.
Apabila teknologi semakin maju, sebuah enjin mampu menghasilkan tujahan yang jauh lebih besar. Enjin juga menjadi semakin dipercayai menyebabkan dua enjin sudah mencukupi untuk menerbangkan pesawat yang besar dalam perjalanan jauh.
Tetapi bagaimana sekiranya salah satu daripada dua enjin itu gagal ketika sedang terbang?
Kegagalan enjin boleh berlaku dalam banyak keadaan dan tidak semuanya kelihatan seperti letupan besar sebagaimana yang biasa digambarkan dalam filem.
Di dalam sebuah enjin jet terdapat bahagian seperti kipas, pemampat, ruang pembakaran dan turbin yang berputar pada kelajuan tinggi.
Masalah pada salah satu bahagian ini boleh menyebabkan enjin kehilangan kuasa atau tidak lagi sesuai digunakan.
Masalah juga boleh berlaku pada sistem minyak, bahan api atau kawalan enjin.
Hal ini kerana kadangkala enjin sebenarnya masih berputar tetapi juruterbang mengambil keputusan untuk mematikannya selepas menerima petunjuk bahawa operasi enjin sudah tidak normal.
Jika berlaku kebakaran misalnya, bekalan bahan api kepada enjin berkenaan boleh diputuskan dan sistem pemadam kebakaran digunakan.
Malah, ada juga kerosakan yang berpunca dari luar.
Burung yang memasuki enjin boleh merosakkan bilah kipas. Objek asing di kawasan lapangan terbang, hujan batu atau abu gunung berapi turut boleh menjejaskan operasi enjin.
Pada Februari 2021, United Airlines Penerbangan 328 mengalami kerosakan enjin tidak lama selepas Boeing 777-200 itu berlepas dari Denver. Bahagian pada enjin kanannya mengalami kerosakan dan sebahagian penutup enjin tercabut.
Serpihannya jatuh di kawasan yang dilalui pesawat. Kru penerbangan kemudian berpatah balik ke Denver dan pesawat mendarat dengan selamat walaupun hanya menggunakan sebuah enjin.
Pesawat dua enjin memang dibina dengan mengambil kira kemungkinan keadaan seperti ini berlaku. Namun penerbangannya tidak lagi sama seperti ketika kedua-dua enjin berfungsi.
Apabila kedua-dua enjin menghasilkan tujahan, daya yang diterima pesawat hampir seimbang antara kiri dengan kanan. Sekiranya enjin kiri terpadam, hanya enjin kanan menghasilkan tujahan.
Kedudukan enjin di bahagian kiri dan kanan sayap menyebabkan pesawat akan menerima daya yang tidak seimbang apabila salah satunya berhenti berfungsi. Jika enjin kiri tidak lagi menghasilkan tujahan misalnya, enjin kanan masih menolak pesawat ke hadapan.
Keadaan ini akan menyebabkan pesawat cenderung berpusing ke sebelah kiri. Juruterbang akan menggunakan rudder yang berada pada ekor bagi mengawal pergerakan tersebut. Pesawat juga boleh diterbangkan dengan sedikit kecondongan ke arah enjin yang masih berfungsi untuk membantu mengekalkan keadaan penerbangan.
Perkara yang hampir sama berlaku kepada pesawat turboprop. Bezanya, pesawat turboprop mempunyai kipas yang besar pada bahagian hadapan enjin. Apabila sebuah enjin gagal, kipas tersebut boleh menghasilkan seretan yang tinggi sekiranya kedudukannya tidak diubah.
Bilah kipas akan diletakkan pada keadaan yang disebut sebagai feature. Dalam kedudukan ini, permukaan bilah lebih menghadap kepada arah aliran udara supaya seretan yang terhasil dapat dikurangkan.

Walaupun pesawat masih boleh terbang dengan sebuah enjin, prestasinya sudah tidak sama. Apabila hanya satu enjin masih berfungsi, pesawat kehilangan sebahagian daripada tujahan yang biasanya digunakan untuk mendaki.
Kesannya lebih terasa jika pesawat masih membawa berat yang tinggi.
Keadaan ini penting ketika berlepas kerana pada waktu tersebut pesawat membawa bahan api yang banyak selain penumpang dan kargo.
Kelajuannya juga masih sedang bertambah dan pesawat belum mencapai ketinggian yang banyak.
Oleh sebab itu, sebelum berlepas, juruterbang perlu mengetahui sama ada pesawat masih mempunyai prestasi yang mencukupi jika sebuah enjin gagal.
Pengiraan dibuat berdasarkan berat pesawat, panjang landasan, suhu, arah dan kelajuan angin serta keadaan permukaan landasan. Daripada pengiraan inilah ditentukan kelajuan dan tindakan yang perlu diambil jika masalah berlaku ketika pesawat sedang memecut.
Antara kelajuan yang penting pada ketika ini ialah V1. Nilai V1 merupakan kelajuan yang digunakan untuk menentukan tindakan ketika berlaku masalah semasa pesawat sedang memecut di atas landasan.
Kejadian British Midland Penerbangan 92 pada 1989 menunjukkan bahawa masalah sebuah enjin tidak semestinya hanya berkaitan dengan kerosakan itu sendiri. Pesawat Boeing 737 itu dalam penerbangan ke Belfast apabila berlaku masalah pada salah sebuah enjin.
Kru menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Namun enjin yang dikenal pasti sebagai bermasalah bukan enjin yang sebenarnya mengalami kerosakan. Enjin yang masih baik kemudian dimatikan.
Pesawat masih terus terbang kerana enjin yang rosak pada waktu itu masih menghasilkan kuasa. Keadaan berubah apabila pesawat menghampiri Lapangan Terbang East Midlands.
Enjin tersebut akhirnya kehilangan kuasa. Oleh sebab enjin yang satu lagi sudah dimatikan, pesawat tidak lagi mempunyai tujahan mencukupi untuk sampai ke landasan. Akibatnya, pesawat itu terhempas berhampiran lapangan terbang dan 47 orang terkorban.
Kejadian ini kemudian menjadi antara kes yang sering dirujuk dalam latihan juruterbang, terutama berkaitan pengenalpastian enjin yang rosak sebelum sesuatu tindakan diambil.
Pada pesawat moden, maklumat keadaan enjin dapat dilihat dengan lebih jelas melalui paparan di kokpit. Bacaan suhu, tekanan minyak, putaran enjin dan penggunaan bahan api dapat dilihat dari kokpit.
Jika terdapat perubahan yang tidak normal, sistem pesawat akan memberi petunjuk atau amaran kepada juruterbang. Namun juruterbang masih perlu menentukan apa sebenarnya yang berlaku sebelum sesuatu tindakan dilakukan.
Latihan menggunakan simulator termasuk kegagalan enjin ketika pesawat sedang memecut di landasan, selepas pesawat terangkat dan ketika sedang berada pada altitud pelayaran.
Kemajuan teknologi enjin dalam masa sama turut mengubah bentuk penumpang.
Sebelum ini, penggunaan tiga atau empat enjin lebih biasa pada pesawat besar terutama untuk penerbangan jarak jauh. Kini tugas yang sama banyak dilakukan oleh pesawat dua enjin.
Boeing 777, Boeing 787, Airbus A330 dan Airbus A350 antara pesawat dua enjin yang digunakan untuk penerbangan jarak jauh.
Pesawat yang mempunyai empat enjin pula mempunyai lebih banyak enjin yang masih boleh digunakan jika salah satunya gagal. Tetapi setiap enjin membawa berat tambahan dan menggunakan bahan api. Enjin itu juga perlu diperiksa dan disenggara sepanjang pesawat digunakan.
Oleh sebab itu, apabila kemampuan sebuah enjin semakin meningkat, keperluan memasang tiga atau empat enjin pada pesawat penumpang juga semakin berkurang. Tahap kebolehanpercayaannya juga semakin baik.
Disebabkan perkembangan ini, penggunaan empat enjin pada pesawat penumpang semakin berkurang. Walaupun pesawat dua enjin boleh terus terbang menggunakan sebuah enjin, keadaan itu bukan cara pesawat tersebut digunakan dalam penerbangan biasa.
Kedua-dua enjin tetap digunakan seperti biasa sepanjang penerbangan. Kemampuan terbang menggunakan satu enjin diperlukan apabila berlaku kerosakan atau keadaan yang menyebabkan sebuah lagi enjin terpaksa dimatikan.
Jika perkara itu berlaku, pesawat lazimnya akan dibawa untuk mendarat. Ia mungkin berpatah balik ke lapangan terbang berlepas atau menuju ke lapangan terbang lain yang sesuai bergantung kepada kedudukan pesawat pada ketika itu.
Enjin yang bermasalah kemudian dapat diperiksa sebelum pesawat digunakan semula. Jadi pesawat dua enjin memang mempunyai keupayaan untuk terus terbang apabila sebuah enjin gagal.
Namun prestasinya sudah tidak sama. Berat pesawat, ketinggian, suhu udara, kelajuan dan keadaan penerbangan ketika masalah berlaku akan menentukan kemampuan pesawat selepas kehilangan sebuah enjin.
Sebagai penumpang, pastinya keadaan ini akan mencetuskan ketakutan. Kegagalan sebuah enjin tidak bermaksud pesawat terus hilang kawalan kerana pesawat dua enjin memang direka untuk menghadapi keadaan seperti ini.
Juruterbang pula dilatih untuk mengawal pesawat, mengenal pasti masalah dan membawa pesawat mendarat di lapangan terbang yang sesuai dengan selamat.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.




