BETONG, 22 November: Usaha memelihara warisan kraftangan masyarakat Iban terus diperkasakan apabila Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban memperluas penganjuran bengkel pembuatan Baju Ujan ke peringkat ranting bagi memastikan seni warisan itu terus diwarisi generasi muda.
Diterajui ketuanya, Natasha Nasa Uggah, inisiatif berkenaan bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai wanita, khususnya di kawasan luar bandar, mempelajari kemahiran menghasilkan pakaian tradisional masyarakat Iban.
Terbaharu, bengkel tersebut diadakan di Rumah Panjang Bantan Jerman, Sungai Langit, Ulu Layar dengan penyertaan seramai 55 peserta daripada Ranting Kubal Ili. Latihan berkenaan dikendalikan tenaga pengajar, Rowena Chinda Gerinsam.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan membawa latihan kemahiran terus ke rumah panjang merupakan usaha berkesan untuk memperluas peluang pembelajaran serta menggalakkan penglibatan wanita luar bandar dalam pembangunan komuniti.
“Bengkel seperti ini memberi peluang kepada wanita mempelajari kemahiran yang mempunyai nilai budaya dan boleh dimanfaatkan dalam kehidupan mereka.
“Usaha membawa latihan terus ke rumah panjang juga memudahkan lebih ramai wanita mendapatkan pendedahan dan bimbingan,” katanya.
Beliau berharap peserta bukan sahaja memanfaatkan kemahiran yang dipelajari, malah turut berkongsi ilmu berkenaan dengan wanita lain supaya seni pembuatan Baju Ujan tidak hilang ditelan zaman.
“Saya berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh dan berkongsi kemahiran tersebut dengan wanita lain.
“Dengan cara ini, seni pembuatan Baju Ujan dapat terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya
Penganjuran bengkel itu memperlihatkan komitmen Wanita PBB Cawangan Bukit Saban dalam memperkasa wanita di peringkat akar umbi, selain memastikan Baju Ujan terus dihargai sebagai khazanah budaya dan identiti masyarakat Iban.
Selain memelihara warisan tradisi, inisiatif berkenaan turut membuka ruang kepada wanita luar bandar mengembangkan kemahiran yang berpotensi dimanfaatkan sebagai aktiviti ekonomi komuniti.
Oleh Adi Safarman



