PUSA, 22 November: Seramai 177 nelayan di kawasan Batang Lupar menerima bantuan input nelayan berjumlah RM355,000 menerusi Dana Pemudahcaraan Pertanian (AFF) bagi membantu meningkatkan produktiviti dan memperkukuh sumber pendapatan mereka.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, setiap penerima menerima bantuan bernilai kira-kira RM2,000 serta dibekalkan 17 utas pukat hanyut bagi menyokong kegiatan perikanan masing-masing.
Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan komuniti nelayan, khususnya dengan memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan untuk memperkukuh kegiatan ekonomi dan sektor perikanan setempat.
“Semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para nelayan bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh sumber pendapatan serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan sektor perikanan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Input Nelayan menerusi Dana Pemudahcaraan Pertanian (AFF) anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Betong, semalam.
Dalam pada itu, Shafizan turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Betong, Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) serta Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Layar Rimbas atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap kerjasama antara agensi berkaitan dengan persatuan nelayan dapat terus diperkukuh bagi memastikan lebih banyak inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan komuniti nelayan di kawasan Batang Lupar.
Oleh Adi Safarman



