
PAKAN: Kompleks Sukan Pakan bakal menerima nafas baharu dengan peruntukan RM1 juta di bawah Fasa 1 bagi membina dan menambah baik sistem perparitan.
Hadir bagi menyaksikan penyerahan tapak projek daripada Majlis Daerah Meradong Julau (MDMJ) kepada pihak kontraktor ialah Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, baru-baru ini.
Kerja-kerja naik taraf akan bermula pada April ini, dan dijangka siap pada September 2025.
Selain menambah baik sistem perparitan, projek ini juga bertujuan mengelakkan masalah banjir berulang yang boleh menjejaskan aktiviti sukan di kawasan itu.
Menurut Mawan, Kompleks Sukan Pakan memainkan peranan penting sebagai pusat utama bagi program sukan dan acara rasmi di daerah ini.
Malah, katanya, semua sekolah di Daerah Pakan turut menggunakan kemudahan tersebut untuk pelbagai kejohanan dan latihan sukan.
Justeru, beliau menggesa agar kompleks itu terus diberi perhatian dari segi penyelenggaraan dan penambahbaikan.
Selepas Fasa 1 selesai, Fasa 2 akan menyusul dengan perancangan untuk menggantikan trek larian, membina tempat duduk berbumbung serta menaik taraf kemudahan lain.
Katanya, jumlah peruntukan bagi fasa seterusnya akan diumumkan kemudian.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan (MYSED) Dolhadi Mazuki dan Setiausaha MDMJ Lau Chi Sing.
Oleh Earl Anek