BINTANGOR: Tebingan Sungai Bintangor akan dinaik taraf melalui kelulusan kerajaan Sarawak iaitu bernilai kira-kira RM41 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, antara pembangunan projek tersebut adalah pembinaan laluan pejalan kaki konkrit lanjutan, taman, jalan dan pembinaan struktur ikon Bintangor iaitu limau.
“Ia juga meliputi kiosk makanan, pagar keselamatan, tempat perlindungan laluan pejalan kaki, gazebo, jeti konkrit, bangunan terminal bas, tempat letak kereta, landskap, pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), balai polis mini dan pusat sehenti (OTC).
“Beberapa projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) di Bintangor bukan sahaja mengubah landskap pembangunan tetapi juga taraf hidup penduduk di kawasan ini.
“Antaranya termasuklah menaik taraf taman rekreasi Bintangor (RM4 juta) dan dewan serbaguna dua tingkat (RM18 juta).
“Selain itu RADDA turut membiayai pembinaan laluan alternatif Jalan Kilang ke Jalan Janting (RM8 juta), paip utama Jalan Kelupu ke Stesen Booster Tulai (RM10 juta) dan naik taraf sistem retikulasi bandar Bintangor (RM25 juta),” katanya ketika berucap di majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor di sini, malam tadi.
Tambahnya, dengan ekonomi Sarawak yang stabil, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan inisiatif bantuan baharu kerajaan Sarawak iaitu Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat Sarawak, terutamanya mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah.
“Kerajaan Sarawak telah menubuhkan satu pasukan di bawah seliaan Pejabat Daerah Meradong untuk membantu pendaftaran Sarawak ID dan Spay Global bagi penerima SKAS pada 23 Januari sehingga 25 Januari 2023 bertempat di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Maradong dan Julau (MDMJ).
“Dalam menjayakan pendidikan percuma 2026, kerajaan Sarawak telah melulus dan memberikan peruntukan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi manfaat kepada para peminjam yang terdiri daripada kalangan anak-anak Sarawak.
“Program bantuan kesihatan untuk warga emas sebagai inisiatif untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di kalangan warga emas juga telah diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak.
“Program ini dikenali sebagai Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB),” katanya.
Turut hadir ialah Gung Chiu Kion selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, Dato Ung Sing Ung, Pengerusi Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong Tuai Rumah Kinchu Ajan, Pemanca Yii Hee Sieng, Penghulu Selah Jugi, dan Penghulu Su Song Kuok.
Oleh Earl Anek