Pertandingan tanglung mesra alam semai kreativiti, kesedaran alam sekitar 

Facebook
WhatsApp
DATUK Ding Koung Hiing bergambar bersama para peserta. Foto Pusat Khidmat DUN Meradong

BINTANGOR: Seramai 125 murid menyertai Pertandingan Reka Bentuk Tanglung Kreatif Mesra Alam yang bukan sahaja mengetengahkan warisan budaya masyarakat Cina, malah menjadi platform menyemai kreativiti, semangat kerjasama dan kesedaran menjaga alam sekitar sejak usia muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pertandingan tersebut diadakan bersempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh dan Pesta Kuih Bulan anjuran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Cina Daerah Meradong bersama Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Daerah Meradong.

Katanya, ia mempunyai nilai tersendiri kerana warisan budaya masyarakat Cina digabungkan dengan elemen pendidikan, kreativiti dan pemeliharaan alam sekitar.

“Pesta Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan tradisional yang penting dalam masyarakat Cina dan mempunyai nilai yang cukup bermakna kerana melambangkan perpaduan, keharmonian serta kasih sayang dalam keluarga.

“Perayaan ini memberi peluang kepada kita untuk berkumpul bersama keluarga, rakan-rakan dan masyarakat, di samping mengeratkan hubungan serta menghargai warisan budaya yang telah diwarisi dari generasi ke generasi,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Pertandingan Reka Bentuk Tanglung Kreatif Mesra Alam tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Individu Kumpulan Rendah bagi murid Darjah 1 hingga Darjah 3, Individu Kumpulan Atas bagi Darjah 4 hingga Darjah 6 dan kategori Berkumpulan.

Seramai 75 murid mengambil bahagian dalam kategori individu bagi kedua-dua kumpulan, manakala 50 lagi menyertai kategori berkumpulan.

Tambahnya, sambutan menggalakkan itu mencerminkan minat murid terhadap aktiviti yang menggabungkan unsur kebudayaan dengan kreativiti dan pendidikan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Beliau menyifatkan pertandingan tanglung mesra alam sebagai platform yang baik untuk mencungkil bakat murid, khususnya apabila bahan terpakai dan bahan yang boleh dikitar semula digunakan dalam menghasilkan rekaan masing-masing.

Katanya, pendekatan itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan amalan menjaga alam sekitar kepada generasi muda menerusi aktiviti yang menyeronokkan dan dekat dengan warisan kebudayaan mereka.

Bagi kategori berkumpulan pula, katanya, proses menghasilkan tanglung membuka ruang kepada peserta untuk berbincang, berkongsi idea dan saling membantu, sekali gus mengasah kreativiti serta membina semangat kerja berpasukan dan persahabatan.

Beliau turut mengingatkan peserta bahawa kemenangan bukan satu-satunya ukuran kejayaan dalam pertandingan, sebaliknya keberanian untuk mengambil bahagian, mencuba sesuatu yang baharu dan belajar daripada pengalaman juga mempunyai nilai penting.

Tambahnya, sekiranya sambutan penyertaan berbilang kaum terus menggalakkan, satu kategori khas melibatkan peserta daripada pelbagai kaum boleh dipertimbangkan pada penganjuran akan datang.

“Langkah ini dapat membuka peluang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali dan menghayati budaya masyarakat Cina dengan lebih dekat, sekali gus memperkukuh semangat ‘Keharmonian Dalam Kepelbagaian’ dalam kalangan masyarakat Meradong.

“Tahniah kepada KMKK Cina Daerah Meradong dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Daerah Meradong serta guru, ibu bapa, peserta dan semua pihak yang menjayakan pertandingan ini,” katanya.

Oleh Earl Anek

Jejakmu masih ada

SETIAP yang bermula pasti akan tiba pada akhirnya. Begitulah hukum kehidupan yang tidak dapat dielakkan. Ada pertemuan yang membuka jalan,