SEPANG, 24 November: Kejayaan Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kadar pengisian jawatan guru kepada 99 peratus berbanding kira-kira 94 peratus sebelum ini dapat menangani kekurangan tenaga pengajar, termasuk di sekolah yang mempunyai kemudahan asrama.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata peningkatan itu membolehkan kementerian mengoptimumkan penempatan guru mengikut keperluan sekolah, sekali gus membantu mengurangkan beban tugas guru yang turut memikul tanggungjawab menguruskan hal ehwal asrama.
Beliau berkata kementerian menjangkakan kadar pengisian jawatan guru boleh mencapai 103 peratus di beberapa negeri apabila proses penempatan selesai dilaksanakan.
“Jadi bila pertambahan guru ini sampai 99 peratus, bukan lambakan cikgu. Bukan bermaksud kita (KPM) ambil lebih-lebih orang kemudian campak sajalah di mana-mana.
“Penempatan guru ini perlu mengambil kira perjawatan yang diluluskan dan keperluan perkhidmatan,” katanya pada sesi Taklimat KPM Bersama Media di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Datuk Zainal Abas serta barisan pengurusan KPM.
Mohd Azam berkata KPM kini menguruskan kira-kira 483,000 guru yang berkhidmat di 10,259 sekolah di seluruh negara termasuk sekolah di kawasan pedalaman.
Beliau berkata usaha meningkatkan pengisian guru itu turut memberi peluang kepada KPM memperkukuh penempatan tenaga pengajar di sekolah berasrama bagi memastikan pengurusan dan kebajikan murid lebih terpelihara.
Semalam, media melaporkan KPM memperkukuh penambahan bilangan warden asrama termasuk di sekolah berasrama penuh melalui pengambilan pembantu warden di bawah program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP).
Usaha itu dilaksanakan secara berperingkat bagi menangani cabaran dan meringankan beban tugas guru dalam membantu hal ehwal pengurusan asrama.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata KPM turut memperkukuh langkah keselamatan sekolah menerusi pelaksanaan Polisi Keselamatan dan Polisi Perlindungan Murid bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat.
Antara langkah dirancang ialah memperketat kawalan keluar masuk pihak luar ke kawasan sekolah serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi bersesuaian dengan peruntukan kira-kira RM15 juta yang disediakan bagi tahun hadapan.
Beliau berkata pemasangan CCTV perlu mengambil kira aspek keselamatan, privasi dan pandangan pihak berkuasa berkaitan termasuk Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
“Usaha membangunkan sistem pendidikan negara tidak boleh digalas kementerian semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama keluarga, masyarakat dan semua pihak berkepentingan.
“Kita perlu bergerak bersama-sama untuk membangunkan satu generasi yang sejahtera bagi menghadapi kehidupan dan cabaran masa hadapan negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Azam berkata pengenalan elemen kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam kurikulum penting bagi memastikan murid bersedia menghadapi cabaran dunia digital tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan dan pembentukan sahsiah.- Bernama




