Johnny Pang mahu pengundi nilai rekod khidmat lima tahun di Tanjong Batu

Facebook
WhatsApp
CALON Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.68 Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.

BINTULU, 25 November: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming mahu pengundi menilai rekod perkhidmatannya sepanjang lima tahun sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Johnny Pang yang diumumkan sebagai calon GPS untuk mempertahankan kerusi berkenaan berkata, beliau bersama pasukannya telah berusaha melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sejak memenangi pilihan raya pada 2021.

Menurutnya, usaha itu merangkumi penyelesaian isu masyarakat setempat, tindakan susulan terhadap aduan penduduk serta pemantauan pelaksanaan projek pembangunan di seluruh kawasan Tanjong Batu.

“Sejak hari pertama saya dipilih pada 2021, saya dan pasukan tidak pernah berhenti berusaha kerana kami memahami bahawa mandat yang diberikan rakyat datang bersama tanggungjawab.

“Sekarang adalah masa untuk rakyat menilai apa yang telah kami capai sepanjang lima tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rekod perkhidmatan sepanjang penggal lalu turut merangkumi projek pembangunan yang telah disiapkan serta inisiatif yang masih dalam pelaksanaan.

Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk sekali lagi mewakili kawasan berkenaan.

Beliau menyifatkan GPS sebagai sebuah keluarga politik yang bersatu dan yakin semangat kebersamaan itu menjadi kekuatan gabungan berkenaan dalam menghadapi PRN akan datang.

Mengulas hala tuju pembangunan negeri, Johnny Pang optimis terhadap agenda kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari, khususnya dalam sektor pendidikan, ekonomi dan infrastruktur.

“Saya percaya usaha yang telah dilakukan oleh pasukan saya sepanjang lima tahun lalu, bersama visi masa depan yang dirancang Abang Johari untuk rakyat Sarawak, memberikan kita sebab untuk terus melihat ke hadapan dengan penuh keyakinan,” ujar.

Terdahulu, Abang Johari mengumumkan senarai calon GPS bagi PRN Sarawak, dengan Johnny Pang dikekalkan sebagai calon bagi kerusi DUN Tanjong Batu.