KPM rancang perkenal kelas khusus untuk murid autistik

Facebook
WhatsApp
KPM rancang perkenal kelas khusus untuk murid autistik. Foto janaan AI

SEPANG, 24 November: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kelas khusus untuk murid autistik bermula tahun depan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pendidikan khas negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad berkata langkah itu diambil kerana keperluan pembelajaran murid autistik berbeza berbanding murid pendidikan khas lain, selain mengambil kira peningkatan jumlah murid yang menghidap autisme yang dikenal pasti setiap tahun.

“Pada masa ini, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mencampurkan murid yang menghidap autisme, murid sindrom Down dan murid lewat perkembangan dalam satu kumpulan. Inisiatif terkini ini adalah untuk mewujudkan kelas khas bagi murid-murid autistik. 

“Kita lihat autisme ini berdasarkan pandangan pakar dalam bidang pendidikan khas ini, dan kita perlu ada satu inisiatif yang khusus untuk mereka (kanak-kanak autistik). Kita lihat dari segi data jumlahnya makin meningkat dan kita perlu memberikan perhatian yang lebih fokus kepada mereka,” katanya kepada media selepas Sesi Taklimat Media Bersama KPM di sini, hari ini.

Azam berkata secara idealnya, sebuah kelas PPKI menempatkan tujuh murid dengan bimbingan seorang guru pendidikan khas dan seorang Pembantu Pengurusan Murid, namun ada kelas kini menempatkan hingga 10 murid. 

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KPM sedang melaksanakan pembinaan bilik darjah tambahan secara terancang, termasuk pendidikan khas bagi memenuhi keperluan kemasukan murid setiap tahun.

“Inisiatif untuk pendidikan khas ini memang di bawah perancangan KPM, lebih-lebih lagi apabila sudah diumumkan dalam Belanjawan 2027 berkaitan dengan inisiatif untuk pendidikan khas murid yang menghidap autisme. 

“Pada masa yang sama, memang kita ada perancangan untuk meningkatkan lagi jumlah bilik darjah untuk pendidikan khas supaya anak-anak pendidikan khas ini mendapat peluang pendidikan yang sempurna,” katanya.

Dari segi kemasukan pelajar pendidikan khas ke tahun satu bagi sesi 2027, Azam berkata setakat ini sebanyak 9,997 pelajar dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh tahun, dan sebanyak 656 terdiri daripada mereka yang berusia enam tahun.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata  Sekolah Sukan Pendidikan Khas pertama negara yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dijangka mula mengambil pelajar tingkatan satu pada tahun depan. 

Beliau berkata sekolah itu kini hampir siap dengan baki kerja pembinaan hanya dua hingga tiga peratus.

Azam berkata permohonan sudah dibuka dengan penempatan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

“Sebenarnya ini adalah peluang untuk kita mengangkat martabat sistem pendidikan negara dengan mengangkat potensi anak-anak kita selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu melahirkan insan yang seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya. – Bernama