Tiga lelaki tempatan ditahan susulan kes tikam di Mukah

Facebook
WhatsApp
TIGA suspek warga tempatan berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan oleh pihak polis dalam kejadian pergaduhan di kawasan sebuah kuarters lama jabatan kerajaan . Foto IPD Mukah

MUKAH, 25 November: Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 42 tahun dalam kejadian pergaduhan di kawasan sebuah kuarters lama jabatan kerajaan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang mengakibatkan dua lelaki cedera akibat ditikam menggunakan sebilah pisau semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira 11.00 malam pada 23 November susulan perselisihan faham antara suspek dan mangsa ketika mereka sedang minum minuman keras.

“Dalam kejadian tersebut, seorang suspek bertindak menikam seorang mangsa di bahagian perut menggunakan sebilah pisau serbaguna berukuran dua inci.

“Seorang lagi mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian kiri belakang badan serta punggung sebelah kanan ketika cuba meleraikan pergaduhan,” katanya.

SEKITAR lokasi kejadian pergaduhan berlaku. Foto IPD Mukah.

Sehubungan itu, kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan.

“Seorang daripada mangsa dibenarkan pulang pada hari yang sama, manakala seorang lagi dirujuk ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 29 November ini bagi membantu pihak polis melengkapkan siasatan.

Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan pergaduhan terutamanya ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Alexander Constontine di talian 013-5073256 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Oleh Adibfahmy