Pembangunan pendidikan perlukan sokongan semua pihak 

Facebook
WhatsApp
DATO' Sri Huang Tiong Sii melakukan pelepasan acara Jalan Kaki Amal 2026. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

SARIKEI, 25 November: Usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta meningkatkan kebajikan murid tidak seharusnya digalas oleh pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama ibu bapa, kerajaan dan masyarakat.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, kerjasama pelbagai pihak merupakan asas penting dalam memastikan pembangunan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, penyediaan kemudahan sekolah yang baik perlu diberikan perhatian bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan menyokong perkembangan murid.

“Saya akan sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan kemudahan sekolah dan akan terus menyokong usaha meningkatkan kemudahan serta persekitaran pembelajaran murid,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Pelepasan Acara Jalan Kaki Amal 2026 anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Chien, baru-baru ini.

Katanya, penganjuran acara tersebut bukan sahaja bertujuan mengumpul dana untuk sekolah, malah menyediakan ruang kepada warga pendidikan dan keluarga untuk melibatkan diri dalam aktiviti bersama.

“Perkara paling penting dalam aktiviti ini ialah semangat kebersamaan, masa yang diluangkan bersama keluarga serta keikhlasan semua pihak dalam menyumbang kepada amal,” katanya.

Dalam pada itu, Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap pembangunan sekolah di negeri ini.

Beliau menekankan kepentingan usaha tersebut dalam memastikan setiap anak Sarawak berpeluang menikmati pendidikan yang baik dengan kemudahan pembelajaran yang bersesuaian.

Oleh Earl Anek