Persiapan polis Sarawak dipertingkat menjelang PRN Sarawak ke-13

Facebook
WhatsApp
TAKLIMAT… Datuk CP Saifullizan Ishak menyampaikan taklimat pada mesyuarat Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak Bil. 3/2026 di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak semalam.

KUCHING, 24 November: Kontinjen Polis Sarawak sedang mempertingkatkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dengan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan operasi, penempatan anggota, keperluan logistik dan keselamatan awam bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan aman dan lancar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk CP Saifullizan Ishak berkata semua ketua polis daerah dan ketua formasi perlu mengenal pasti lebih awal kawasan berisiko, isu sensitif serta kekangan logistik dengan mengambil kira keluasan geografi Sarawak dan jumlah pengundi yang dijangka melebihi dua juta.

Beliau berkata pihak polis bertanggungjawab memastikan keseluruhan proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman, selamat dan teratur serta mematuhi peruntukan undang-undang, di samping memelihara ketenteraman awam dan keselamatan semua pihak yang terlibat.

DATUK CP Saifullizan Ishak penyampaian cenderamata penghargaan.

“Persiapan awal perlu meliputi perancangan sumber manusia, keperluan logistik, penempatan anggota serta penyelarasan operasi di seluruh daerah dan formasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak Bil. 3/2026 di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak semalam.

Mesyuarat itu didahului dengan Taklimat PRN DUN Sarawak ke-13 yang dipengerusikan oleh Saifullizan dan disampaikan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim.

Program berkenaan turut merangkumi taklimat pengaksesan dan penggunaan aplikasi BlackBerry AtHoc oleh pasukan BlackBerry dari Bukit Aman bagi penugasan Op PRN Sarawak ke-13.

Aplikasi itu bertujuan memperkukuh komunikasi serta memastikan maklumat operasi, termasuk arahan gerakan, perkembangan semasa, amaran keselamatan, laporan insiden dan pemberitahuan kecemasan, dapat disampaikan dengan pantas dan teratur kepada pegawai serta anggota yang bertugas.

SEKITAR sesi mesyuarat Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak Bil. 3/2026 dihadiri oleh barisan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Saifullizan berkata mesyuarat berkenaan merupakan mesyuarat kepimpinan pertama yang dipengerusikannya sejak mengambil alih jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Beliau menyifatkan mesyuarat itu sebagai platform tertinggi pengurusan PDRM Kontinjen Sarawak untuk membincangkan isu semasa, mengenal pasti cabaran, menilai keperluan operasi serta menyelaras hala tuju kontinjen bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepolisan yang cekap dan berkesan.

Beliau mengingatkan semua ketua jabatan, ketua formasi dan ketua polis daerah supaya menterjemahkan setiap dasar, arahan serta keputusan pengurusan kepada tindakan yang jelas dan tersusun di peringkat masing-masing, selain memastikan pelaksanaannya dipantau secara berterusan.

Beliau turut menekankan kepentingan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, tanah runtuh dan gangguan laluan akibat keadaan cuaca tidak menentu sepanjang Monsun Timur Laut.

“Setiap daerah perlu memperkukuh pelan kontingensi, memastikan aset dan keperluan logistik tersedia serta meningkatkan keupayaan tindak balas terhadap kecemasan,” katanya.

Mengenai kesiapsiagaan anggota, Saifullizan berkata Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) secara berterusan penting bagi memastikan pegawai dan anggota memahami undang-undang berkaitan pilihan raya, prosedur operasi standard (SOP), peraturan semasa serta tatacara penugasan di lapangan.

Beliau berkata pengetahuan, disiplin dan profesionalisme amat penting bagi memastikan setiap penugasan dilaksanakan dengan cekap, berintegriti dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mengakhiri amanatnya, beliau menegaskan bahawa keberhasilan mesyuarat bergantung kepada pelaksanaan keputusan secara konsisten, berkesan dan bertanggungjawab.

Katanya, setiap keputusan yang dipersetujui perlu disampaikan hingga ke peringkat akar umbi dan dilaksanakan dengan penuh komitmen.

Mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan PDRM Kontinjen Sarawak untuk memperkukuh kesiapsiagaan, meningkatkan keupayaan operasi serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam menjelang PRN Sarawak ke-13.

Oleh Connie Chieng