KUCHING, 23 November: Rekod pencapaian dan komitmen berkhidmat kepada rakyat perlu menjadi ukuran utama pengundi dalam menentukan wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, kawasan itu memerlukan wakil rakyat yang berdedikasi, memberi tumpuan kepada isu tempatan serta berupaya melaksanakan pembangunan, bukannya bergantung kepada reputasi atau retorik politik semata-mata.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan DAP meletakkan Chong Chieng Jen sebagai calon di Kota Sentosa, sambil menyambut baik penyertaan semula pemimpin itu dalam persaingan politik di kawasan berkenaan.
Menurut Yap, Kota Sentosa telah melalui transformasi pembangunan sepanjang lima tahun lalu menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), termasuk Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Walaupun kita menghormati pengalaman panjang beliau dalam arena politik, pilihan raya ini adalah mengenai hasil kerja dan khidmat yang berdedikasi kepada rakyat.
“Sepanjang lima tahun lalu, Kota Sentosa telah melalui transformasi sebenar di bawah kerajaan GPS dan pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP),” katanya.
Yap turut mengingatkan pengundi supaya memahami perbezaan bidang tanggungjawab antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya, Chong selaku Ahli Parlimen Stampin mempunyai platform di Parlimen untuk membangkitkan isu berkaitan dasar nasional, peruntukan Persekutuan serta agensi kerajaan Persekutuan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Keyakinan saya bersandarkan tindakan yang konsisten dan membina, bukannya janji politik kosong,” katanya.
Yap berkata, beliau komited untuk terus berkhidmat sepenuh masa sebagai wakil rakyat kawasan, dengan rekod pelaksanaan kerja dan pencapaian sebagai asas kepada keyakinannya untuk mendapatkan mandat semula.
“Usaha menyelesaikan masalah secara aktif dan menghasilkan pencapaian nyata harus sentiasa lebih diutamakan daripada kritikan dari jauh,” katanya.
Beliau mengakui pembangunan kawasan bandar terus berdepan pelbagai cabaran, justeru berhasrat memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf sistem perparitan yang semakin usang, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menambah baik kemudahan awam sekiranya diberi mandat semula.
Oleh Connie Chieng




