Sarawak perlu beralih daripada pertanian tradisional kepada kaedah moden

Facebook
WhatsApp
MENTERI Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika mendengar taklimat mengenai Demo Plot Sawah Padi di Rumah Unjah, Sungai Melangan, hari ini.

SIBU, 23 November: Sarawak perlu beralih daripada kaedah pertanian tradisional kepada sistem pengeluaran moden berasaskan teknologi bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta pendapatan petani.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, perubahan itu penting bagi memastikan sektor pertanian bukan sahaja mampu memenuhi keperluan makanan, malah menjadi sumber pendapatan yang lebih menguntungkan masyarakat luar bandar.

Menurutnya, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), sistem pengairan moden dan teknologi pertanian pintar perlu diperluas bagi meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman.

“Kita tidak boleh terus menggunakan pendekatan lama dalam mengusahakan pertanian. Dunia sudah berubah dan teknologi semakin berkembang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Demo Plot Sawah Padi di Rumah Unjah, Sungai Melangan, di sini, hari ini.

Rundi berkata, petani perlu diberikan pendedahan kepada teknologi baharu, latihan teknikal serta akses kepada jentera moden bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual dan menurunkan kos operasi.

“Kerja penyediaan tanah, penanaman, penyelenggaraan dan penuaian perlu dilaksanakan secara lebih sistematik. Penggunaan benih berkualiti serta penyelidikan berterusan juga penting bagi meningkatkan hasil tanaman.

“Kita perlu berusaha meningkatkan hasil semasa yang mencatatkan purata sembilan tan sehektar bagi setiap musim melalui penggunaan teknologi dan pengurusan tanaman yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keterjaminan makanan, khususnya bekalan beras, perlu diberikan keutamaan memandangkan Sarawak memerlukan kira-kira 450,000 metrik tan beras setiap tahun untuk memenuhi keperluan penduduk.

Katanya, peningkatan pengeluaran padi tempatan penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import, terutama ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik, konflik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

Selain tanaman padi, Rundi berkata, penggunaan sistem fertigasi dan teknologi rumah hijau boleh diperluas bagi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan serta tanaman bernilai tinggi secara lebih terancang dan konsisten.

Beliau turut menggalakkan pembangunan industri hiliran supaya petani tidak hanya bergantung kepada penjualan hasil mentah, sebaliknya berpeluang menghasilkan produk nilai tambah yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi.

Menurutnya, pembangunan sektor pertanian moden juga perlu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk menceburi bidang berkemahiran tinggi seperti kejuruteraan, teknologi pertanian, penyelidikan serta pengurusan pengeluaran makanan.

Oleh Tarani Lanting