Kepakaran anak rumah panjang perlu dimanfaatkan untuk pembangunan pedalaman

Facebook
WhatsApp
PENASIHAT di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom menyantuni penduduk Rumah Levis Pana. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Pakan

PAKAN, 24 November: Golongan berpendidikan dan individu yang memiliki kepakaran dalam kalangan masyarakat rumah panjang diseru memainkan peranan lebih aktif dalam merancang hala tuju pembangunan komuniti bagi memastikan kemajuan kawasan pedalaman dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pembangunan sesebuah komuniti memerlukan penyertaan masyarakat dalam mengenal pasti keperluan serta menentukan keutamaan pembangunan setempat.

Katanya, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki anak-anak rumah panjang perlu dimanfaatkan melalui perkongsian idea serta perancangan bersama demi kepentingan komuniti.

“Perpaduan dalam kalangan penduduk merupakan asas penting bagi memastikan setiap usaha pembangunan dapat dirancang dengan mengambil kira kepentingan bersama.

“Kerjasama antara kepimpinan rumah panjang dengan penduduk, termasuk golongan profesional dan berpendidikan, dapat membantu komuniti mengenal pasti keutamaan pembangunan berdasarkan keadaan serta keperluan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santai Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Levis Pana, Ulu Sugai, baru-baru ini.

TAN Sri William Mawan Ikom berucap pada Majlis Santai Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Levis Pana, Ulu Sugai. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Pakan

Dalam pada itu, beliau berkata, keupayaan kewangan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membuka lebih banyak ruang untuk mempercepat pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman.

Katanya, peluang tersebut perlu dimanfaatkan melalui perancangan yang tersusun bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan dapat menyokong usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Menyentuh perkembangan media sosial, Mawan turut mengingatkan penduduk supaya lebih matang dan berhati-hati dalam menilai maklumat yang diterima menerusi pelbagai platform digital.

Beliau menekankan kepentingan menilai kesahihan sesuatu maklumat  sebelum mempercayai atau menyebarkannya, khususnya kandungan yang berpotensi menjejaskan hubungan sesama anggota komuniti.

Tambahnya, keharmonian masyarakat rumah panjang perlu terus dipelihara bagi memestikan  perbezaan pandangan tidak menjadi penghalang kepada kerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan setempat.

Sementara itu, Tuai Rumah Levis Pana merakamkan penghargaan atas kunjungan Mawan ke rumah panjang tersebut.

Beliau turut menyatakan sokongan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta menyuarakan harapan agar Mawan dikekalkan sebagai calon bagi kerusi DUN Pakan.

Menurut Levis, pembangunan kemudahan asas, khususnya jalan raya dan bekalan elektrik, telah membawa perubahan positif kepada kehidupan masyarakat pedalaman.

Beliau berharap usaha pembangunan tersebut dapat diteruskan dengan memberikan perhatian kepada keperluan penduduk di kawasan Ulu Sugai.

Oleh Earl Anek