SARIKEI: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berharap agar jawatankuasa baharu bagi sesi 2025-2028 yang dilantik dalam Persatuan Melanau Sarikei, menjalankan tugas penuh amanah dan integriti, serta merancakkan program-program persatuan pada masa akan datang.
Katanya, sebagai penaung persatuan tersebut, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan penglibatan aktif dalam kalangan ahli persatuan dalam penganjuran program-program di pelbagai peringkat.
“Mesyuarat agung Persatuan Melanau Sarikei diadakan bagi membentang dan mengesahkan minit mesyuarat agung yang lepas, perkara berbangkit, membentang dan meluluskan laporan aktiviti dan kewangan bagi dua tahun iaitu 2023 dan 2024 dan yang paling utama adalah pemilihan jawatankuasa baharu bagi sesi 2025-2028.
“Terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Melanau Sarikei sesi 2023-2024 atas segala sumbangan dan komitmen mereka.
“Saya berharap jawatankuasa baharu dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan integriti, serta merancakkan program-program persatuan di masa akan datang.
“Semoga penglibatan dari semua peringkat, terutamanya golongan belia, dapat menggerakkan persatuan Melanau seluruh Sarawak agar terus aktif dan berkembang,” katanya.
Len Talif berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Melanau Sarikei 2024 di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berharap kepimpinan jawatankuasa baharu Persatuan Melanau Sarikei, khususnya daripada kalangan generasi muda dapat memikul tanggungjawab bersama serta berusaha untuk menarik lebih ramai ahli, agar persatuan terus maju dan memberi manfaat kepada semua.
“Besarlah juga harapan saya agar Persatuan Melanau Sarikei ini dapat disertai oleh lebih ramai lagi warga Melanau yang ada di Bahagian Sarikei.
“Penyertaan mereka merupakan satu langkah yang amat penting bagi menjamin kesinambungan aktiviti yang dirancang oleh pihak persatuan,” katanya.
Oleh Earl Anek