
SEBAUH: Rotary Club of Bintulu mengambil langkah proaktif dengan menyumbangkan pelbagai peralatan gotong-royong kepada Pejabat Daerah Sebauh, sekali gus memperkukuh usaha pemulihan pascabanjir di kawasan tersebut.
Pengerusi Rotary Club of Bintulu, Lee Lei Kiak menyerahkan sumbangan itu kepada wakil Pegawai Daerah Sebauh, Frances Sherri Lia Jian dalam satu majlis penyerahan di Pejabat Daerah Sebauh hari ini.
Antara peralatan yang disumbangkan adalah pembersih tekanan tinggi, pembersih vakum industri, tong sampah, plastik sampah, hos air, penyapu longkang serta peralatan lain yang akan digunakan bagi aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam.
Menurut Lee, inisiatif itu bertujuan membantu kelancaran Gotong-Royong Perdana Pejabat Daerah Sebauh bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam memastikan persekitaran daerah lebih bersih dan selamat terutamanya selepas banjir yang melanda baru-baru ini.
Sementara itu, situasi di Pekan Sebauh menunjukkan perkembangan positif dengan paras air semakin surut.
Namun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sebauh terus berada dalam keadaan bersiap siaga dan memantau keperluan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Untuk rekod, PPS Balai Raya Sebauh masih beroperasi sejak 29 Januari dan menempatkan 15 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 45 mangsa yang masih memerlukan bantuan.
Oleh Carolyne Utih