DEBAK: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) diharap meneruskan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi untuk memperkasa belia di sini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, Saberkas telah lama dikenali sebagai sebuah organisasi belia dinamik dan sentiasa mendahului dalam menggalakkan penyertaan belia dalam pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik penganjuran pertandingan sepak takraw yang dianjurkan oleh Saberkas Cawangan Saribas yang berjaya menarik penyertaan kalangan belia pelbagai latar belakang.
“Melalui penganjuran pertandingan seperti ini, kita bukan sahaja memperkasakan sukan dalam kalangan belia, tetapi juga merapatkan hubungan antara komuniti, terutamanya dalam kalangan belia di Daerah Saribas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Sepak Takraw Tertutup N.35 Saribas Sempena Karnival Sukan Saberkas di Gelanggang Futsal Riveria Debak yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, hari ini.
Razi turut menyatakan bahawa program ini bukan sahaja menggalakkan budaya hidup sihat, tetapi turut membuka ruang untuk mencari bakat baru dalam sukan sepak takraw di kawasan ini.
Selain itu, dalam sempena Karnival Sukan Saberkas ini, pertandingan Futsal Tertutup N.35 Saribas turut diadakan, yang dikelola oleh Saberkas Unit Kampung Supa. Aktiviti ini diadakan khas bagi melibatkan belia setempat dan memupuk semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan mereka.
“Saberkas memainkan peranan penting dalam pembangunan belia di Sarawak, terutamanya dalam mendorong mereka untuk aktif dalam pelbagai aktiviti komuniti dan sukan.
“Melalui program yang dianjurkan seperti ini, Saberkas memberi platform kepada belia untuk bersaing secara sihat dan berusaha ke arah membentuk individu yang berdaya saing, bersemangat dan bertanggungjawab dalam masyarakat,” katanya.