Wilson Ugak gesa pembinaan BBP Sungai Asap dipercepat

Facebook
WhatsApp
KEHADIRAN...Wilson Ugak hadir pada Majlis Perasmian BBP Belaga, hari ini. Foto Bomba Sarawak

BELAGA: Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong menggesa supaya pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Asap dipercepatkan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan pedalaman terus diberi keutamaan.

Beliau berkata, tuntutan itu disuarakan bukan sahaja sebagai Timbalan Menteri Digital, tetapi juga sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan yang membawa suara masyarakat Sungai Asap yang memerlukan kemudahan keselamatan yang lebih dekat dan pantas.

“Saya mohon supaya pembinaan BBP Sungai Asap dipercepatkan. Saya bercakap bukan sebagai Timbalan Menteri Digital sahaja, saya bercakap sebagai wakil rakyat kawasan ini dan atas nama masyarakat yang saya wakili,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian BBP Belaga, hari ini.

Menurutnya, faktor jarak Sungai Asap dari pusat pentadbiran utama menjadikan keperluan terhadap sebuah balai bomba di kawasan itu amat penting, khususnya ketika berlaku kecemasan apabila masa menjadi faktor penting dalam menyelamatkan nyawa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang menegaskan bahawa pembangunan kemudahan awam tidak seharusnya tertumpu di bandar besar, sebaliknya perlu turut dinikmati masyarakat pedalaman termasuk di Belaga dan Sungai Asap.

“Jangan kerana kita jauh dari pusat pentadbiran, kita dianggap jauh daripada perhatian kerajaan. Pembangunan mesti sampai ke Belaga, Sungai Asap dan rakyat di pedalaman,” katanya.

Wilson berkata, beliau akan terus membawa isu berkaitan kawasan berkenaan ke peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk perkara berkaitan transformasi digital, kemudahan kerajaan dan keselamatan rakyat.

DATUK Wilson Ugak Kumbong semasa melakukan perasmian BBP Belaga hari ini. Foto Bomba Sarawak

Beliau turut menyeru masyarakat Belaga supaya tidak berasa terpinggir daripada arus pembangunan, termasuk dalam aspek teknologi dan peluang digital.

“Jangan ada jurang antara bandar dan luar bandar. Jangan ada jurang antara anak orang kaya dengan anak orang kampung dari segi peluang teknologi.

“Jangan ada anak Belaga yang merasakan impian mereka terlalu jauh hanya kerana mereka tinggal di pedalaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wilson merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) atas peranan serta pengorbanan anggota bomba dalam melindungi keselamatan masyarakat.

Katanya, anggota bomba sentiasa berdepan risiko ketika menjalankan tugas, termasuk ketika orang lain berusaha menyelamatkan diri.

“Kerajaan menghargai anda, rakyat menghargai anda dan masyarakat Belaga menghargai pengorbanan anda,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, pegawai daerah, jabatan kerajaan, ketua masyarakat dan rakyat bagi memastikan pembangunan Belaga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

WILSON Ugak beramah mesra dengan kanak-kanak yang menggayakan uniform bomba pada Majlis Perasmian BBP Belaga, hari ini. Foto Bomba Sarawak

Wilson menjelaskan bahawa pembukaan BBP Belaga bukan sekadar perasmian sebuah bangunan, tetapi melambangkan kewujudan satu lagi benteng keselamatan dan pusat khidmat kepada masyarakat.

“Kerajaan yang baik bukan hanya membina selepas berlaku masalah. Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang bersedia sebelum masalah berlaku,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Nazili Mahmood, Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran, Timbalan Residen Kapit Robert Liman Deli dan Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah.

Oleh Adi Safarman