Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 35 sen mulai esok

Facebook
WhatsApp
HARGA runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 17 hingga 23 September ini. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR: Harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 35 sen seliter bagi tempoh 17 September hingga 23 September ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan RON97 ditetapkan pada RM4.85 seliter berbanding RM4.50 seliter sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi yang sebelum ini berharga RM4.02 naik kepada RM4.37 dan diesel tanpa subsidi turut meningkat menjadi RM5.27 daripada RM4.92.

MOF memaklumkan kenaikan harga bahan api pasaran global itu didorong oleh ketegangan di Asia Barat yang semakin memuncak selepas memasuki tempoh 200 hari konflik.

“Iran menyerang 10 kapal berhampiran Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat terhadap lima kapal tangki Iran, manakala serangan turut merebak ke Yaman dan infrastruktur tenaga Arab Saudi. Trafik kapal melalui Selat Hormuz merosot ke paras satu angka susulan peningkatan serangan tersebut.

“Keadaan bertambah buruk apabila serangan dron menyebabkan operasi saluran paip East–West Arab Saudi, antara laluan utama yang memintas Selat Hormuz, dihentikan sementara. Rundingan antara Iran dengan negara-negara Teluk mengenai keselamatan laluan perkapalan turut ditangguhkan,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan perkembangan itu mendorong harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 setong dan mencecah hampir AS$110 setong dalam tempoh pengiraan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Pada masa sama, gangguan kapasiti penapisan di Rusia dan kekangan bekalan minyak mentah terus mengehadkan pengeluaran produk petroleum bertapis, sekali gus mendorong margin penapisan kekal tinggi dan memberikan tekanan kepada harga petroleum global.

Menurut MOF, peningkatan ketegangan di Asia Barat dan konflik Rusia–Ukraine berisiko menyebabkan ketidaktentuan harga petroleum berlarutan dalam tempoh mendatang.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

Menerusi BUDI95, penerima yang layak terus membayar RM1.99 seliter bagi RON95, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.38 seliter atau 54 peratus daripada harga tanpa subsidi RM4.37.

Bagi BUDI Diesel pula, penerima membayar RM2.10 seliter dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter atau 60 peratus daripada harga tanpa subsidi RM5.27.

Selain itu, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel telah dinaikkan semula kepada 300 liter mulai 1 September lepas, manakala pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan hingga 400 liter sebulan.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu.- Bernama