LINGGA: Semangat patriotisme dan perpaduan masyarakat terus disemarakkan menerusi Program Belia dan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga sempena sambutan Hari Malaysia 2026, di Dewan Serbaguna Darat, berhampiran Pasar Tamu Baru, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata penganjuran program berkenaan menjadi platform penting untuk menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan generasi dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan.
Menurutnya, program itu mengetengahkan pelbagai pengisian berteraskan patriotisme, seni dan budaya menerusi pertandingan karaoke lagu patriotik, bertandak duet serta Ratu Cilik bertemakan kebangsaan.
“Pengisian seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada peserta menampilkan bakat masing-masing, malah turut memupuk penghargaan terhadap identiti serta kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan masyarakat Malaysia,” katanya ketika berucap menyempurnakan program tersebut.
Dayang Noorazah berkata, penglibatan aktif belia dan pemuda dalam kegiatan kemasyarakatan amat penting bagi membentuk generasi yang mempunyai semangat cintakan negara, selain mampu memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan dalam komuniti.
Katanya, penyertaan merentas generasi dalam program berkenaan turut membuka ruang interaksi yang lebih erat antara masyarakat, sekali gus menyemai nilai saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada EXCO Pergerakan Pemuda PBB Sarawak atas sumbangan dalam menyokong penganjuran program berkenaan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan Pergerakan Pemuda PBB dan Belia Cawangan Lingga, para peserta serta semua pihak yang memberikan kerjasama dan sokongan bagi memastikan program berlangsung dengan jayanya.
“Semoga penganjuran seperti ini dapat diteruskan dengan pengisian yang bermanfaat serta penyertaan lebih meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap usaha berterusan berkenaan dapat memperkukuh hubungan antara generasi, memelihara warisan budaya dan menyuburkan semangat cintakan Sarawak serta Malaysia dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Oleh Adi Safarman




