ROBAN: Sebanyak 2,098 pek air bersih dan minuman diagihkan kepada penduduk 16 rumah panjang di daerah kecil ini, semalam, susulan keadaan kemarau yang menjejaskan bekalan air di kawasan berkenaan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata operasi penghantaran bantuan itu dilaksanakan sebagai langkah segera bagi membantu memenuhi keperluan harian penduduk yang terjejas.
Menurutnya, operasi bermula dengan pergerakan pasukan pada 9.35 pagi sebelum tiba di lokasi pertama pada 10.00 pagi, dan keseluruhan tugasan selesai pada 5.00 petang.
“Penghantaran bantuan air bersih dan minuman ke kawasan terjejas akibat kemarau telah berjalan dengan lancar dan selamat, dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kecil Roban,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara lokasi yang menerima bantuan ialah Rumah Jimmy Brayang Ulu (202 pek), Rumah Deli Sungai Wong Sebak (222 pek), Rumah Andrew Nanga Kedoh (152 pek), Rumah Pangau Rantau Sukat (152 pek) dan Rumah Silin Dabai Baru (152 pek).
Turut menerima bantuan ialah Rumah Edmund Sebubu Baru (188 pek), Rumah Kemandang Supok Asal (58 pek), Rumah Atin Tingting Lichok Seblak (64 pek), Rumah Jack Lichok Baru (68 pek), Rumah Nair Tingkat Asal Lichok (82 pek) serta beberapa rumah panjang lain.

Beliau berkata, kesemua isi rumah di lokasi terlibat telah menerima pek minuman yang diserahkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Operasi berkenaan melibatkan APM, JKM, Pejabat Daerah Kecil Roban dan RELA, dengan kekuatan tujuh anggota APM, seorang anggota JKM, tiga anggota sukarelawan JKM, empat anggota Pejabat Daerah Kecil Roban serta 15 anggota RELA.
Bantuan tersebut turut disokong oleh beberapa kenderaan agensi dan kenderaan persendirian bagi memastikan proses penghantaran bekalan ke lokasi penerima dapat dilaksanakan dengan teratur.
Menurutnya, agihan air itu merupakan bantuan sementara bagi meringankan beban penduduk sepanjang tempoh kemarau, sementara menunggu bekalan air kembali pulih.
“Penyerahan bantuan air telah tamat pada 5.00 petang dan keseluruhan operasi berjalan lancar serta selamat,” katanya.
Oleh Adi Safarman




