SONG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song mempergiat usaha pencegahan jenayah menerusi Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan di sekitar Pekan Song dan Jalan Temalat, di sini, semalam.
Operasi yang bermula 9.00 pagi itu diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Song, Inspektor Lucy Ronald Jubang, dengan kekuatan 14 Pegawai Rendah Polis (PRP) daripada pelbagai cawangan dan bahagian.
Menurut kenyataan media IPD Song, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mencegah jenayah harta benda, meningkatkan keselamatan awam serta mengesan sebarang aktiviti atau individu yang mencurigakan.
Sepanjang operasi, polis menjalankan pemeriksaan terhadap 45 individu dan 44 kenderaan, selain mengeluarkan empat saman atas kesalahan lalu lintas.
Selain menjalankan penguatkuasaan, anggota polis turut mendekati komuniti dengan berinteraksi bersama peniaga dan pelanggan di sekitar Pekan Song bagi memperkukuh kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat setempat.
Dalam program berkenaan, orang ramai turut diberikan penerangan mengenai penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan penyaluran maklumat dan aduan kepada pihak polis.

Risalah berkaitan pendaftaran VSP serta trend terkini jenayah komersial turut diedarkan, selain hebahan mengenai Pusat Respons Penipuan CCID, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak kepada masyarakat.
Peniaga turut dinasihatkan supaya meningkatkan aspek keselamatan premis masing-masing, termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV), serta sentiasa berwaspada terhadap trend dan modus operandi jenayah semasa.
Ketua Polis Daerah Song, DSP Benedict Faris Jimoy, berkata operasi dan program sedemikian merupakan usaha berterusan IPD Song bagi mempertingkatkan tahap keselamatan awam menerusi rondaan, pemeriksaan serta kehadiran polis secara berterusan di lapangan.
Kehadiran anggota PDRM turut mendapat sambutan positif daripada peniaga dan masyarakat setempat yang menyambut baik inisiatif berkenaan serta berharap program seumpama itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
Sepanjang operasi dijalankan, keadaan dilaporkan aman, teratur dan lancar dalam keadaan cuaca baik.
Orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan penipuan boleh menghubungi Pusat Respons Penipuan CCID di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599.
Oleh Adi Safarman



