SIBU: Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) baru-baru ini menganjurkan Program TVET SkillFest@KKSRCS 2025 merupakan sebuah inisiatif baharu untuk memperkasa generasi muda dalam menghadapi cabaran industri masa depan.
Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Norasmah Jaafar berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang kemahiran praktikal dan pengetahuan teknikal dalam bidang strategik, selari dengan keperluan industri masa kini.
“Inisiatif ini menjadi contoh bagaimana kerjasama antara kerajaan Sarawak dan Persekutuan mampu memperkukuh ekosistem pendidikan TVET.
“TVET bukan sahaja membuka pintu kerjaya yang stabil, malah menawarkan peluang pembangunan diri yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pelajar sekolah menengah untuk mempertimbangkan TVET sebagai pilihan utama selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kami di KKSRCS komited menyediakan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri. Pendaftaran untuk pelajar baharu masih dibuka sehingga 3 Februari 2025,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Wong Siew Meng menekankan kepentingan TVET dalam membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Sibu dan KKSRCS membuka lebih banyak peluang kepada pelajar,” katanya.
Program sehari ini berjaya menarik 100 peserta, termasuk pelajar sekolah menengah dan komuniti setempat yang diberi latihan intensif dalam empat bidang utama iaitu seni kulinari, aplikasi digital, kemahiran tinggi dan kemahiran perkhemahan.
Sebanyak lima sekolah menengah di Sibu iaitu SMK Tiong Hin, SMK Kampung Nangka, SMK Tung Hua, SMK Bandar Sibu dan SMK Deshon turut mengambil bahagian dengan sokongan padu daripada komuniti setempat.
TVET SkillFest 2025 dibiayai oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Sibu dan Pusat Khidmat DUN Nangka.
Oleh Tarani Lanting